Khamis, 1 Februari 2018

Masih ada rakyat tidak tahu mereka berpenyakit – Dr. Subramaniam

MALAYSIA GAZETTE
Datuk Seri S. Subramaniam


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan memberi keutamaan kepada pencegahan penyakit gaya hidup yang menghantui rakyat Malaysia ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S.Subramaniam berkata, tumpuan besar dilakukan sejak empat tahun lalu melalui amalan cara hidup sihat.

“Isu penyakit rakyat Malaysia disebabkan oleh penyakit gaya hidup, contohnya kencing manis, darah tinggi, kegemukan, paras kolestrol yang tinggi.

“Kajian Morbiditi dan Kematian menunjukkan jumlah rakyat Malaysia yang mengalami penyakit ini adalah besar,” katanya dalam program Bicara 4 Mata bersama portal http://www.therakyat.com yang turut disiarkan di RTM dan TV3 malam tadi.

Contohnya, 17.5 peratus rakyat Malaysia berusia lebih 18 tahun mengalami kencing manis (diabetes) dan paling membimbangkan daripada peratusan ini jumlah yang mengetahui mempunyai penyakit ini hanya 9.0 peratus sahaja.

Ini bermakna, baki daripada 83.5 peratus yang mempunyai kencing manis tetapi tidak mengetahuinya.

“Ini sesuatu yang kita tidak boleh terima. Di zaman sekarang, yang mana kita ada sistem kemudahan kesihatan begitu banyak tetapi masih ada rakyat yang tidak mengetahui mereka berpenyakit,” katanya.

Dalam usaha mengesan pesakit dan melakukan pencegahan, Subramaniam berkata, kementerian itu memberi keutamaan kepada penjagaan utama (primary care) melalui program Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen).

Melalui program ini, Kementerian Kesihatan telah mewujudkan 6,000 lokaliti di luar bandar dan pedalaman seluruh negara dengan pembabitkan 43,000 sukarelawan yang boleh menjalankan pemeriksaan kesihatan.

Setiap premis itu dilengkapi dengan kemudahan bagi membolehkan setiap orang menjalani pemeriksaan kesihatan sendiri seperti memeriksa tekanan darah, glukos dalam darah dan pemeriksaan berat secara sendiri.

Setakat ini, saringan penyakit-penyakit itu telah disertai oleh 750,000 orang.

“Kita akan menambah 2,000 lokaliti lagi, kami berharap jumlah saringan ini dapat ditingkatkan kepada 1 hingga 1.5 juta orang, sekaligus dapat mengesan pengidap-pengidap penyakit yang disebutkan tadi,” ujarnya.

Beliau berkata, dengan pendekatan ini usaha mengesan penyakit tidak lagi tertumpu di hospital sahaja yang sepatutnya digunakan untuk memberi rawatan dan klinik-klinik pula bertindak sebagai benteng kesihatan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: