
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan semua pihak supaya terus menjaga alam sekitar di negeri ini untuk dijadikan daya tarikan pelancong.
Tengku Abdullah bertitah, Pahang bertuah kerana mempunyai pantai, tanah tinggi, dan hutan berusia ratusan juta tahun yang kaya dengan flora dan fauna yang perlu terus dikekalkan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
“Tanggungjawab terhadap alam sekitar bukan hanya dipikul oleh kerajaan semata-mata, malah semua masyarakat kerana ia sesuatu yang amat berharga untuk dikongsi bersama-sama.
“Jangan biar kilang atau pembangunan dilakukan di tepi pantai dan laut kerana ia hanya mencemarkan keindahan alam yang ada,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Majlis Penghargaan Visit Pahang Malaysia 2017 anjuran Tourism Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.
Majlis tersebut bagi menghargai segala sokongan dan kerjasama yang telah diberikan pihak kerajaan dan swasta yang terlibat sepanjang kempen Tahun Melawat Pahang 2017 dijalankan.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Baginda bertitah dengan kelestarian alam sekitar, dapat menggiatkan lagi aktiviti pelancongan sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“Secara tidak langsung ia juga dapat mewujudkan perniagaan hiliran seperti kedai makan, kedai cenderamata dan pengangkutan serta menambah menambah kadar penginapan di hotel-hotel di negeri ini.
Baginda turut berharap agar kerajaan negeri juga dapat mempertingkatkan lagi promosi bagi menarik pelancong ke negeri ini termasuk dengan melantik artis mahupun ikon terkenal negara sebagai duta Tahun Melawat Pahang 2018.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan