Mengikut Fasal 3.3 dan Fasal 3.4 Perjanjian Pakatan Harapan yang ditandatangani pada 9 Januari 2016, hendaklah wujud dalam Pakatan Harapan itu “sebuah Badan Perantara (yang) dilantik oleh Majlis Presiden” di mana badan yang dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti ini berfungsi “untuk mendamaikan pihak yang mempunyai pertikaian di dalam Pakatan Harapan dengan mencari penyelesaian yang paling adil kepada pihak dan parti terbabit setelah aduan mengikut Fasal 3.2 dirujuk kepadanya”.
Mengikut Fasal 3.2 Perjanjian Pakatan Harapan ini pula, “setiap anggota dari setiap parti berhak membuat aduan terhadap anggota dari parti lain di dalam Pakatan Harapan sekiranya perbuatan anggota parti lain itu melanggar peruntukan-peruntukan Fasal 2.2 dan Fasa 2.3 sehingga mengakibatkan kerugian, memalukan atau mencemar nama baik anggota atau parti yang membuat aduan itu.”
Semalam, beberapa perbuatan yang mengakibatkan kerugian, memalukan dan mencemar nama baik anggota AMANAH dan PKR sebagai pemimpin parti politik serta nama baik AMANAH dan PKR sebagai parti politik telah dilakukan oleh kedua-dua pemimpin PKR dan AMANAH.
Ia bermula dari tindakan Timbalan Presiden PKR yang juga Pengerusi PKR Selangor dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menggelarkan AMANAH sebagai pembohong dan tidak AMANAH yang diikuti oleh tindakan Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Izham Hashim, menggelarkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai badut yang tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor dan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor.
Terbaru adalah tindakan Pegawai Khas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Muhammad Hilman Idham, yang menggelarkan AMANAH sebagai “parti 2 peratus” dan tindakan Timbalan Ketua AMK Pusat yang juga Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, yang menggelarkan AMANAH sebagai “parti 1.4-1.5 peratus”.
Perbuatan gelar-menggelar yang sudah bertukar menjadi hina-menghina antara pemimpin PKR dan AMANAH ini memberikan imej yang sangat tidak baik terhadap kesatuan politik dalam Pakatan Harapan di mana Pakatan Harapan seolah-olah langsung tidak mempunyai sebarang mekanisme untuk mendisiplinkan ahli-ahlinya.
Benar, Perjanjian Pakatan Harapan memberi hak kepada setiap anggota dari setiap parti untuk membuat aduan terhadap anggota dari parti lain melalui Badan Perantara, tetapi malangnya sehingga kini Badan Perantara ini tidak diketahui telah diwujudkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan menyebabkan aduan begini tidak dapat dibuat di samping tiadanya tindakan proaktif dari pimpinan tertinggi Pakatan Harapan sendiri untuk menyelesaikan pertikaian.
Bila gelar-menggelar sudah bertukar nada menjadi hina-menghina, alamatnya hubungan kedua-dua parti politik ini bagai retak menanti belahlah.
Ini kerana hanya parti politik yang tidak bermaruah sahaja yang ahli-ahlinya sanggup membiarkan parti mereka dihina sesuka hati.
*Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan