NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
yang mempertimbangkan resolusi draf mendapati sebarang perubahan kepada
status Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan perundangan, dan perlu dikekal
seperti sebelum itu.
Resolusi itu menekankan Baitulmaqdis ialah isu yang perlu diselesaikan
menerusi rundingan selain meluahkan kekesalan mendalam terhadap
keputusan mengenai ibu kota itu.
"Sebarang keputusan dan tindakan yang mengubah sifat, status atau
kedudukan demografi Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan perundangan,
tidak sah dan terbatal dan perlu dibatalkan," menurut draf.
Mesir mengedarkan teks draf itu semalam, dan diplomat berkata, majlis
akan mengundi seawal esok berhubung langkah dicadangkan itu.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan Baitulmaqdis
sebagai ibu kota Israel pada 6 Disember lalu yang mencetuskan bantahan
segenap pelosok umat Islam dunia.
Diplomat berkata, mereka menjangka AS akan menggunakan kuasa veto untuk
menghalang langkah itu, manakala kebanyakan 14 negara anggota majlis
berkenaan dijangka menyokong resolusi itu.
Draf itu menggesa semua negara tidak membuka kedutaan di Baitulmaqdis,
membayangkan kebimbangan kerajaan lain akan mengikut jejak AS.
Ia menuntut semua negara anggota tidak mengiktiraf sebarang tindakan
yang bertentangan dengan resolusi PBB mengenai status bandar raya
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan