Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menganggap DAP
bersetuju dengan cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai calon
Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) jika menang Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) kelak.
Ketua penerangannya, Datuk Kamaruddin Mohd Noor berkata kesediaan DAP
menamakan individu lain untuk jawatan yang sebelum ini dikhususkan
kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunjukkan parti itu mungkin bersetuju
jika ia digantikan dengan nama Dr Mahathir.
Anwar hilang kelayakan menjadi calon perdana menteri apabila masih
menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas
pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
"DAP menyebut (mereka) ada pilihan lain. Jadi kita beri tafsiran
kenyataan itu seperti yang diputuskan dalam 'retreat' PH baru-baru ini
iatu nama (calon) adalah Dr Mahathir," katanya kepada Antarapos.
Terdahulu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata PH akan mengumumkan calon perdana menteri yang baru pada Januari 2018.
Guan Eng, ketika mengadakan sidang medianya tanpa kehadiran mana-mana
pemimpin PH yang lain turut berkata pihaknya sudah mempunyai pilihan
lain menggantikan Anwar yang sebelum ini diangkat gagasan itu sebagai
perdana menteri yang seterusnya.
Kamaruddin ketika mengulas lanjut berkata kenyataan Guan Eng itu senada
dengan keputusan yang dicapai PH ketika pemukiman gagasan pembangkang
itu.
"Dahulu DAP secara terbuka mengatakan Anwar sebagai calon PM. Itu adalah pendirian DAP dahulu.
"Mengambil kira pada baru-baru ini ketika PH mengadakan 'retreat', yang
turut membincangkan perkara ini dan ada persetujuan bahawa calonnya
telah dikenalpasti, termasuk DAP yang sokong calon itu, yakni Dr
Mahathir," ujarnya.
Tambah Kamaruddin pengumuman Guan Eng itu akan dilakukan pada Konvensyen PH yang dijadualkan berlangsung pada 7 Januari depan.
Sebelum ini Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PH dinamakan sebagai calon
perdana menteri manakala Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail dinamakan sebagai calon timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun media melaporkan beberapa pemimpin gagasan itu tidak bersetuju dengan cadangan nama berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan