Pada suatu malam berembun bertempat di padang pekan kecil bernama Melor di Kota Bharu, sekali lagi Tok Guru membuka minda khalayak agar cuba menghargai peranan minda.
Tentu sekali hal ini cukup jarang dilakukan oleh penggiat dakwah dan pemacu gerakan, tetapi inilah yang telah dan sering dilakukan Tok Guru sepanjang waktu.
“Di sana (akhirat), orang tok tanya, bakpo (kenapa) mu tak turut Nik Aziz. Bakpo mu tak turut Ku Li.
Bakpo mu tak turut Datuk Mahathir. Dok (tak), Tuhan tok tanya tu. Hok Tuhan tanya, bakpo mu tok turut fikiranmu sendiri yang Aku bui (beri) mata, Aku bui telinga, Aku bui otak untukmu mmikir (berfikir).
"Ingat mmolek (ingat elok-elok), kito ni akil baligh belaka dah. Bila umur 15 tahun alah katah (ke atas), kita bebas berfikir sendiri mengikut kaca mata yang diberi oleh Allah.
"Mata: Allah Ta’ala memberi mata sebagai pukat kita, jala kita. Kita buat cari ikan. Mata, telinga Allah Taala beri untuk kita cari ilmu pengetahuan. Daripada ilmu inilah menjadi maklumat yang boleh kita betulkan bahtera hidup kita di muka dunia.
"Mata menengok. Nak tengok alam ni ko (kah), nak tengok Quran ko, nak tengok siapa pun, tengok lloh ggi lah.
"Telinga: Telinga pula, nak dengar ceramah ko, nak dengar khutbah ko, nak dengar orang bbua (berbual) ko, nok dengar begapo (nak dengar apa sekali pun) dengarlah. Asalkan benda itu setelah kita masokkan (masukkan) ke dalam fikiran kita dan otak kita, kita proses.
"Bukalah minda: Berdasarkan kepada ‘ni lah (inilah), dmano (di mana) saja orang ceramah, kita keno gi (kena pergi), dmano saja orang kuliah, kita keno ggi, dmano saja orang buat usrah; kito keno ppakat ggi (kita kena pergi beramai-ramai). Hasil daripada itulah kita dapat maklumat dan dapat buat pertimbangan.
"Pah tu (selepas itu), buatlah keputusan sendiri untuk memperbetulkan kedudukan kita.”
Contoh kelincahan menjawab
Inilah prinsip kebebasan berfikir dan roh demokrasi yang tekun ditiup Tok Guru Nik Abdul Aziz saban hari. Membesar dalam kata-kata ini, rakyat Serambi Mekah rata-rata berpuas hati dengan iklim demokrasi yang disediakan olehnya setiap kali mereka menguak jendela pagi; menilik pelbagai isu terhidang di dada akhbar justeru mereka pun tahu yang menteri besar mereka juga seorang yang celik isu.
Bahkan, mereka ghairah menunggu apakah jawaban Tok Guru apabila datang isu-isu yang sedang menggeliat minda. Mereka ternanti-nanti, apa yang akan dikatakan oleh sifu mereka.
Mari kita dekati tiga contoh yang dimaksudkan:
- Tuhan samseng
Jawab Tok Guru: “Isu Tuhan samseng soal terjemahan dan bukan isu akidah.”(Berita Minggu, 22 Jun 2003).
- Umno nak jadi imam sembahyang
Jawab Tok Guru setelah diserbu wartawan sehari selepas itu: “Ini benda baru yang cuba diimport oleh pemimpin Umno ke dalam parti kebangsaannya. Setelah hampir 50 tahun, barulah Umno mula terasa penting peranan Islam yang perlu dimainkan oleh ahli politik.
"Jika orang bertanyakan pemimpin Umno, apa yang telah dibuat oleh YB dan ketua-ketua bahagian parti Umno selama ini, maka janganlah pula mudah melenting.”
- Nik Aziz vs Hishammuddin Hussien
Terasa yang inilah ruang demokrasi yang sentiasa ditunggu-tunggunya, Tok Guru memberi reaksi balas terus dengan menulis surat kepada Hishammuddin.
Berikut ialah kandungan surat berkenaan:
“Yang Berhormat, sungguhpun saya menghargai pelawaan YB, tetapi saya barangkali tidak dapat menerima yang saya kononnya hanya melihat sesuatu masalah itu dengan jalan yang mudah.
“Yang Berhormat, sungguhpun saya menghargai pelawaan YB, tetapi saya barangkali tidak dapat menerima yang saya kononnya hanya melihat sesuatu masalah itu dengan jalan yang mudah.
"Maksiat adalah maksiat. Ia amat serius. Bagaimana saya akan melihatnya sebagai mudah jika ia dianggap serius disisi Allah SWT?
"Suka saya ingatkan bahawa maksiat
yang saya maksudkan di sini ialah maksiat dalam takrifnya yang asli dan
tradisional iaitu bermaksiat kepada Allah. Perihal seriusnya lagi gejala
maksiat ini apabila maksiat itu menjadi berleluasa,
“Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus menerus.” (al-Qiyamah : 5).
"Allah SWT pernah bersumpah berbunyi:
“Demi (rombongan) yang melarang dengan sebenar-benarnya (dari
perbuatan-perbuatan maksiat).”
"Manakala dalam Kamus Dewan edisi
ketiga pula mentakrifkan maksiat sebagai “perbuatan yang melanggar
perintah Allah atau perbuatan yang berdosa.”
"Sementara itu, kamus pelajar terbitan
khas KBSM DBP pula menyebutkan maksiat sebagai “perbuatan buruk yang
dilarang oleh Allah atau perbuatan yang berdosa (seperti minum arak,
berzina dan lain-lain).”
"Saya berharap YB pun turut boleh
menerima takrif tersebut. Saya kira, kita telah membekalkan definisi
yang mencukupi untuk bermula. Mari kita mulakan dengan premis yang betul
dari sekarang.
"Setelah merdeka 47 tahun lalu,
Malaysia melahirkan dua lapis generasi. Jika kita sama-sama jujur dengan
diri sendiri, kita terpaksa akui yang dua lapis generasi itu semakin
tipis nilai akhlaknya.
"Di sini, tentu ada sesuatu yang tidak
kena dengan acuan. Di peringkat kementerian, tentu ia amat berkaitan
dengan portfolio Yang Berhormat.
"Yang Berhormat, setahu saya,
pendidikan lebih sinonim dengan adab. Perkataan itu lebih komited dengan
proses mengasuh, menjaga, dan memberi ta'dib bagi melahirkan insan yang
sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Sifatnya
sepanjang hayat, dari buaian ke liang lahad.
"YB, Islam tidak bermula dari
buku-buku yang ditulis oleh bijak pandai. Ia tidak bertolak dari
manusia. Walaupun YB melihat jawaban yang saya pernah beri dan akan saya
kemukakan ini berkepentingan politik sempit tetapi saya juga perlu
memberi maklum bahawa Islam itu tidak sesempit fikiran mereka yang salah
faham. Orang yang faham akan melihat dan merasai keluasannya.
"YB, seluruh alam, langit dan bumi,
manusia dan makhluk sama ada benda dan bukan benda adalah ciptaan Allah
SWT. Teori sebab musabab dalam dunia sains terkini pun mengakui hakikat
ini.
"Selaku muslim, kita wajib beriman dan
meyakini kenyataan berkenaan. Selaku pemerintah yang Islam, kita ada
kitab suci al-Quran. Pemimpin Islam mesti berfikir secara Islam.
"Saya sesungguhnya tidak faham
bagaimana YB boleh menuduh saya mempunyai kepentingan politik sempit
sedangkan Islam yang kami cuba bangunkan adalah Islam berlandaskan
peraturan al-Quran. Sifat relevan Islam luas dan berjarak jauh. Dimensi
kebahagiaan yang dijamin-Nya adalah dari dunia sampai ke akhirat.
"Benda yang Islam kata berdosa
sepatutnya disebut oleh kerajaan sebagai salah. Akan tetapi, suasana
yang berlaku sekarang jauh berbeza. Apa yang disebut berdosa tiba-tiba
tidak disebut salah oleh kerajaan. Inilah masalahnya dengan kerajaan
sekular.
"Ini mencelarukan fikiran rakyat. Inilah punca utama kekacauan sosial dan gejala maksiat.
"Lama kelamaan, amalan ini menghakis keyakinan dan keimanan umat.
"Dalam apa jua penyelesaian, YB perlu
terlebih dahulu kembali kepada perkara takwa. Takwa wajib dipupuk di
semua peringkat. Bermula daripada takwa, manusia hanya akan takut kepada
Allah.
"Dengan takwalah manusia dianugerahkan
kemuliaan. Firman Allah SWT bermaksud: Orang yang paling mulia antara
kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa.” (al-Hujjurat : 13).
"Allah turut mencintai orang-orang
yang bertaqwa. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa
(sebahagian daripada surah ali-Imran : 76.)
"Mereka dijamin tidak meragui
al-Quran. Mereka akan sentiasa mendapat petunjuk. Mereka akan mendirikan
solat. Mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki. Mereka beriman
kepada al-Quran dan kitab-kitab. Mereka yakin adanya kehidupan akhirat.
Mereka adalah orang-orang yang beruntung.
“Jika sekiranya penduduk negeri-negeri
beriman dan bertaqwa pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka
keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat
Kami) itu. Maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka” (al-A’raf
: 96).
"Di peringkat ini, izin pula saya
bertanya YB - sudahkah kurikulum pendidikan kita di semua peringkat
memberikan tempat yang mencukupi bagi berkembangnya nilai-nilai takwa
seperti di atas?
"Di sini YB perlu jujur memberikan
jawaban. Jika belum dibuat, maka saya cadangkan ia dimulakan dari
sekarang. Saya tidak nampak bagaimana jasmani, emosi, rohani, dan
intelek pelajar boleh subur jika tidak ditunjangi nilai takwa.
"Kedua, kita perlu menganggap
murid-murid sebagai anak-anak kita. Islam - misalnya - menetapkan kaedah
menggalak dan melatih anak-anak agar mulai belajar sembahyang sejak
berusia tujuh tahun. Mereka boleh dirotan (dengan semangat mengajar)
mulai usia 10 tahun.
"Mulai usia 10 tahun juga, anak lelaki
dan anak perempuan perlu diasingkan tempat tidurnya. Ilmu tentang
baligh, haid dan nifas, nafsu dan akal, syaitan dan malaikat, dosa dan
pahala, wajib dan sunat, haram dan halal, mubah dan makruh.
"Semua peraturan-peraturan yang saling
melengkapi. Maka, hiduplah mereka dalam satu sistem disiplin yang
berangkai, teratur dan syumul. Dalam solat misalnya mereka diperkenalkan
dengan lafaz “Allahuakbar” yang hanya membesarkan Allah dan menentang
syirik.
"Di sana ada al-Fatihah yang sarat
dengan maksud mendalam mengenai pengertian Islam dan tata hidup
bersusila. Adab dan akhlak berkomunikasi dengan ayah, ibu, guru, jiran,
sahabat, meliputi batas lelaki dan perempuan amat sinonim dengan Islam.
"Batas disiplin berpakaian dan berhias
juga turut ditentukan. Lihatlah Surah Luqman dari ayat 12 hingga ayat
19 untuk mengesahkan lagi asas-asas ta'dib yang saya sebutkan ini. Jika
semuanya ini tiada dalam kaedah pendidikan kita, maka inilah punca
gejala maksiat.
"Ketiga, penerimaan Islam dan
pelaksanaan harus dibuat secara kaafah (menyeluruh). Dasar pendidikan
bertunjangkan akidah, iman dan akhlak ini perlu didukung dasar lain
melalui penyelarasan polisi kementerian-kementerian di semua sektor.
"Dasar pendidikan yang mempunyai
kesedaran takwa dan adab yang komited; mustahil dapat berfungsi jika
suasana pembangunan sektoral yang melingkunginya sangat bersifat
antitakwa.
"Dasar penyiaran misalnya, wajib
bergerak serentak dalam menyuburkan benih iman. Contoh pengeluaran lesen
arak yang berleluasa, kelulusan lesen dan premis judi, majalah-majalah
separa lucah yang bersepah, berleluasanya penulisan yang
memperkecil-kecilkan al-Quran dan hadis.
"Jika semua dasar kerajaan dihimpunkan
setempat, amat jelas yang ia saling bercanggahan. Usaha pendidikan di
sekolah berdepan terus dengan usaha-usaha antiakhlak di luar pagar
sekolah.
"Ia tidak saling membantu. Anehnya, ia
dilaksanakan oleh kerajaan yang sama - diungguli oleh Umno dengan YB
adalah salah seorang menterinya.
"Nampak seolah-olah dasar kesenian
misalnya, boleh menghalalkan apa sahaja demi kemajuan industri
pelancongan. Inilah paradoksnya dunia pendidikan kita.
"Umno mendidik sambil meruntuh.
Apabila suasana kronik, mulalah seluruh ibubapa, PIBG, pasukan polis dan
guru dipaksa menanggung beban kesalahan.
"Ulama dikerah turun padang. Apa sangatlah kudrat ulama mengubah apabila kerajaan sendiri tidak berhajat pun untuk berubah?
"Kerajaan sendiri mengajar maksiat,
bersubahat dengan maksiat dan kadang kala turut aktif melakukan maksiat,
sekali gus mengkhianati apa yang diamanahkan. Sebenarnya, seluruh
sektor kehidupan bernegara kita ini sudah sakit.
"Kita perlukan reformasi menyeluruh.
Kita tidak mampu lagi setakat menitik ubat “eye-mo” ke dalam mata atau
menukar kaca mata kerana yang rosak adalah tubuh Malaysia yang sekular
itu sendiri secara menyeluruh.
"YB, dalam batas perlembagaan,
kerajaan negeri memainkan peranannya yang tersendiri. Moto kami ialah
“Membangun Bersama Islam”. Antara lain, apa yang sedang kami laksanakan
adalah seperti berikut:
- Menekankan prinsip amalan ubudiyah, masuliyyah, dan itqan di kalangan pemimpin politik, penjawat awam, dan masyarakat pada amnya;
- Mengasaskan belanjawan tahunan negeri atas prinsip jimat dan belanja berhemah;
- Mengendalikan urusan kewangan kerajaan negeri mengikut sistem kewangan Islam;
- Cuba membuktikan komitmen antiriba dengan mengasaskan sistem pajak gadai ar-Rahnu yang sedang giat berkembang;
- Mengadakan kempen menggalakkan wanita menutup aurat;
- Menganjurkan kempen tahunan bulan sembahyang Ihya’ Ramadhan dan Hari Hudud;
- Melantik sebahagian penghulu tanpa mukim/ahli majlis perbandaran/daerah dari saudara kita kaum Cina, Siam dan India;
- Melantik penghulu wanita;
- Mengiktiraf semua manusia adalah bersaudara;
- Memastikan semua rumah awam kos rendah mempunyai 3 bilik untuk mengawal gejala keruntuhan akhlak;
- Tidak menyediakan premis judi dan sentiasa memberi tazkirah terbuka tentang bahaya judi;
- Meluluskan Enakmen Kanun Syariah II dan Hudud pada 1993;
- Memberikan cuti dua hari seminggu dan menambah cuti bersalin;
- Menteri Besar dan semua exco sendiri mengetuai ceramah, berkhutbah Jumaat dan memimpin kuliah agama di serata masjid dan surau;
- Memperkenalkan sekolah-sekolah tahfiz sains yang mengembangkan program pendidikan bersepadu di antara subjek akademik dan mata pelajaran fikah, sirah, akhlak, tauhid, hafazan, balaghah, nusus, mantik, tasawwur dan mutala’ah.
"Ia disusun rapi dalam rangka
melahirkan pemimpin dan insan yang serba boleh dan serba cemerlang.
Usaha ini sedang giat berlaku. Kami cuba lahirkan kumpulan pelajar yang
pintar berkepakaran tetapi sekali gus masih membawa sifat-sifat alim dan
gerunkan Allah SWT.
"Ringkasnya, Malaysia sesungguhnya
memerlukan sebuah reformasi besar-besaran.
Rombakan fikrah pemimpin Umno
bertaraf menteri sangat utama didahulukan sebelum memikirkan
transformasi akhlak remaja dan rakyat jelata di akar umbi.
"Jika tidak, usah bercakaplah soal bersedia melakukan islah dan pemulihan.
"Ini pun saya masih ragu sama ada YB
mempunyai kekuatan dan kesabaran untuk menghabiskan tulisan saya ini
yang disifatkan amat berterus terang. Saya berani mencadangkan semua ini
kerana YB juga yang meminta saya mengemukakan cadangan.
"Jika boleh saya meminta, sukacita
dapat kiranya YB meneliti teguran dan peringatan ini. Emosi dan nafsu
tentunya terlalu hina untuk digunakan bagi mengamati panduan-panduan
yang telah diatur oleh Allah SWT.
"YB, dalam mendidik, Islam
mengisytiharkan Iqra’ iaitu desakan untuk membaca yang berpusat kepada
keagungan Allah SWT. Islam tidak pernah mengizinkan proses pembelajaran
untuk sekadar menimba ilmu semata-mata sehingga melupai kedaulatan
Allah.
"YB, berilah sedikit waktu untuk
mencari lapis-lapis makna yang tersirat dari surah Thohaa. Izin saya
petik dua ayat: “Thohaa. Kami tidak menurunkan al-Quran ini agar kamu
menjadi celaka”. (Thohaa : 1-2).
"YB, di hadapan Allah SWT nanti, saya
akan menjawab bahawa saya telah menegur seorang menteri bernama
Hishammuddin bin Hussien - pernah di satu hari, di satu masa, di satu
ketika sewaktu di dunia.”
Meneliti kandungan surat di atas, tahulah kita betapa uniknya amalan demokrasi yang diketengahkan oleh Tok Guru pada era itu. Telus dan terus - dia menegur Umno selaku pemerintah dan bukan yang selainnya. Ini justeru PAS pada waktu itu tahu yang dia sebuah parti oposisi yang memikul amanah demi memperbaiki.
Kini, saksikan sendiri sikap para pemimpin yang menggantinya. Berasaskan isu-isu seputar - tanpa perlu mempengaruhi - buatlah penilaian dan keputusan tuan-tuan yang sebaik-baiknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan