GEORGETOWN: Kelemahan sistem perparitan negeri antara punca kejadian
banjir yang melanda lebih 100 kawasan di kelima-lima daerah di negeri
ini sejak semalam.
Perkara itu diakui, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow.
Ujar beliau, sistem perparitan sedia ada di negeri ini sememangnya
tidak mampu menampung aliran air yang begitu banyak ketika hujan lebat.
Menurutnya, jumlah taburan hujan luar biasa sejak 2 petang semalam yang
bertembung dengan kemuncak fenomena air pasang juga antara punca
berlaku banjir kilat.
"Sistem perparitan semula jadi dan buatan sedia ada tidak mampu
menampung aliran air hujan, tambah lagi taburan hujan yang begitu di
tinggi di kelima-lima daerah telah menyebabkan banyak kawasan
ditenggelami air," katanya kepada pemberita di George Town.
Kadar taburan hujan yang direkodkan menunjukkan Seberang Perai Utara
mencatatkan paras tertinggi iaitu 372 milimeter diikuti Seberang Perai
Tengah (327 mm), Timur Laut (289 mm), Barat Daya (237 mm) dan Seberang
Perai Selatan (165 mm).
Hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang dilanda banjir selepas hujan
lebat yang turun sejak 2 petang semalam di mana 75 kejadian pokok
tumbang dan lapan kejadian tanah runtuh telah dilaporkan.
Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri juga
tidak mempunyai sumber anggota dan kelengkapan yang mencukupi untuk
menghadapi bencana banjir ini.
Katanya, beliau amat menghargai kesediaan Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana sudi menerima panggilan
telefonnya pada 3.30 pagi dan seterusnya menghantar anggota Angkatan
Tentera Malaysia untuk membantu Pulau Pinang.
"Kami amat berterima kasih kepada Zahid, seorang pemimpin yang tidak
memilih bulu semasa saat genting dalam kerja-kerja membantu mangsa
banjir," katanya.
Terdahulu, Lim berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk
mengisytiharkan darurat buat masa ini kerana keadaan terkini masih
terkawal.
Katanya, darurat hanya akan diisytihar oleh kerajaan negeri selepas rundingan dan atas nasihat kerajaan persekutuan.
"Kami akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi menyemak
prosedur operasi standard (SOP) menangani bencana negeri sedia ada
supaya penyelarasan lebih berkesan dapat dilakukan," katanya.
Setakat 2 petang tadi, sebanyak 51 pusat pemindahan telah dibuka di
Pulau Pinang bagi menempatkan 2,861 mangsa banjir di lima daerah.
Cuaca di negeri ini masih mendung dengan sesekali hujan renyai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan