Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: PAS Selangor berkata kemurkaan Sultan Selangor, Sultan
Sharafuddin Idris Shah terhadap kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH)
Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghina keturunan Bugis, tidak perlu
dipolitikkan.
Sebaliknya menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi teguran
terhadap Dr Mahathir boleh dilakukan secara tertutup dan tidak
semestinya menerusi media.
Sambil menjunjung titah Sultan Selangor, beliau yang menyifatkan
tindakan Dr Mahathir itu sebagai tidak seharusnya 'menyentuh' soal
bangsa dan keturunan.
"Dalam hal-hal yang macam ini tidak perlu sangat nak dipolitikan. Bagi
saya, soal teguran itu tidak perlu nak di kemuka dalam mana-mana media.
Cukup lah saya rasa kalau Azmin Ali sebagai Menteri Besar boleh
berhubung sendiri dengan Dr Mahathir dan menyatakan teguran itu.
"Kita PAS menyokong, menjunjung kasih atas titah Tuanku yang menyatakan
kesedihan diatas penghinaan Mahathir kepada keturunan Bugis. PAS
melihat bahawa kenyataan Dr Mahathir itu kalau pun dia nak sebut sifat
buruk seseorang, kebencian dia jangan dikaitkan dengan soal bangsa soal
keturunan," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Apatah lagi ujar Sallehen, kenyataan yang dikeluarkan mantan perdana
menteri selama 22 tahun itu, dilihat sekaligus turut menghina susur
galur Kesultanan Selangor, yang dahulunya memperjuangkan dan
mempertahankan keamanan di seluruh kepulauan Nusantara.
"Kesilapan dia ialah apabila Mahathir menyebut tentang kebenciannya
kepada sikap seseorang. Maka, dikaitkan dengan keturunan. Yang salah itu
bukan keturunan, yang salah ialah peribadi seseorang itu. Sebab itu
bagi kita orang Bugis sendiri walaupun mempunyai sumbangan besar dalam
soal mempertahankan tanahair di Selangor sebagai bumi yang berdaulat,"
tambahnya.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar
mencabar kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan terhadap Tun Dr
Mahathir Mohamad selepas membuat kenyataan berbaur menghina terhadap
kaum Bugis sehingga membangkitkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan
Sharafuddin Idris Shah.
Ujarnya, ia harus dibuat atas kapasiti Azmin sebagai Menteri Besar dan
demi menjaga maruah Sultan Selangor dan rakyat di negeri ini.
Dr Mahathir, ketika berucap pada Himpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan
Kleptokrasi” di Padang Timur pada 14 Oktober lalu menyifatkan Najib
mungkin berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan
memintanya balik ke Bugis.
Kenyataan itu mengundang bantahan dan kemarahan pelbagai pihak yang
menuntut permohonan maaf, namun Dr Mahathir menafikan beliau berniat
menghina semua keturunan Bugis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan