Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: PAS Kelantan akan akur serta bersedia mengubah kandungan
lafaz bai'ah yang dikenakan ke atas calonnya di negeri itu pada Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya diarahkan Majlis Syura Ulama, selaku
entiti tertinggi parti itu.
Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata sehingga
kini Majlis Syura Ulama masih meneliti dan belum ada kata putus bersabit
isu tersebut.
"Kelantan ini kalau (PAS) pusat buat keputusan apa-apa pun kita terima," katanya.
Che Abdullah diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin
yang menyatakan Majlis Syura Ulama sedang mempertimbang untuk
memansuhkan bai'ah talak tiga dalam memastikan penyelarasan lafaz bai’ah
di seluruh negara pada PRU14.
Hashim berkata badan tertinggi parti itu kini dalam proses penelitian
untuk memansuhkan lafaz bai'ah talak tiga yang dikenakan ke atas calon
bertanding khususnya di Kelantan.
Diminta mengulas mengenai keputusan Majlis Syura Ulama mewajibkan calon
bukan Islam melafazkan sumpah taat setia atau aku janji, Che Abdullah
berkata ia perlu dipatuhi sebagaimana ditetapkan badan tertinggi itu.
"Kalau Mursyidul Am kata begitu, macam itulah.
"Kalau dia tak boleh terima apa-apa keputusan yang dibuat oleh PAS dia tak layak jadi calon PAS," katanya.
Perkembangan terbaru ini memperlihatkan PAS mahu memastikan calon yang
bertanding mewakili parti itu kekal wala' kepada kepimpinan dan juga
parti itu sekiranya memenangi PRU14 nanti.
Isu lafaz bai'ah PAS yang digunakan untuk mengikat wakil rakyat atau
pemimpin pernah menjadi perdebatan secara terbuka selepas beberapa
pimpinan kanan bertindak keluar parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan