Selasa, 14 November 2017
Henti jadi negara penghidap diabetes
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan mengambil tindakan segera untuk membendung jumlah pesakit diabetes yang terus meningkat di negara ini.
Di sebalik pelbagai kempen mengenai diabetes, kelazimannya terutama Jenis 2, telah meningkat ke tahap menjadi satu wabak. Dianggarkan terdapat kira-kira 4.2 juta penghidap diabetes, yang meletakkan Malaysia antara negara dengan penghidap diabetes yang tertinggi dalam kelompok negara ASEAN dan keenam di rantau Pasifik Barat.
Peningkatan diabetes pada kadar yang membimbangkan di Malaysia memerlukan langkah tegas dari kerajaan untuk membendung wabak ini.
Kerajaan perlu memberikan amaran bahaya dalam menangani wabak diabetes sepertimana yang dilakukan dalam wabak taun dan denggi.
Kini diabetes telah menular menjadi satu wabak di seluruh dunia dan perkara ini begitu membimbangkan sehingga mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) untuk mengisytiharkan 14 November sebagai Hari Diabetes Sedunia.
WHO menganggarkan terdapat lebih 200 juta penghidap diabetes di seluruh dunia dan setiap tahun terdapat kira-kira tujuh juta orang penghidap baharu penyakit ini.
Diabetes menyerang hampir semua lapisan masyarakat – tua, muda, lelaki, wanita dan kanak-kanak daripada pelbagai kaum.
Tinjauan menunjukkan bagi setiap dua penghidap diabetes yang dikenal pasti, terdapat seorang lagi yang tidak didiagnosa dan tidak menerima rawatan sehinggalah berlaku komplikasi yang sukar untuk dirawat. Lebih buruk lagi, Diabetes Jenis 2 tidak lagi dilihat sebagai penyakit yang cuma dialami oleh golongan tua atau usia pertengahan kerana kini sudah terdapat kanak-kanak semuda 10 tahun menghidapnya.
Penyakit diabetes membebankan kerajaan kerana setiap tahun ia terpaksa membelanjakan kira-kira RM2,684.24 untuk rawatan setiap pesakit. Ini merupakan jumlah RM11.3 bilion untuk anggaran 4.2 juta pesakit diabetes dalam negara. Bagi pesakit yang mengalami masalah ginjal pula, kerajaan terpaksa membelanjakan antara RM1,400-RM3,200 setiap bulan untuk rawatan haemodialisis.
Kerajaan bukan sahaja terpaksa menanggung kos yang tinggi dalam soal penjagaan kesihatan malah turut terbeban dengan kehilangan produktiviti pekerja yang menghidap diabetes.
Diabetes bukan sahaja menelan sumber negara malah ia menjejaskan hampir setiap tisu tubuh dengan pesakit mengalami kerosakan dalam jangka panjang. Misalnya ia membabitkan anggota tubuh (terpaksa dipotong), hilang penglihatan (buta), kegagalan ginjal, kegagalan jantung dan masalah saraf.
Di mana-mana di dunia, setiap:
- 10 saat dua orang mengembangkan diabetes
- 10 saat seorang meninggal kerana diabetes
- 30 saat satu anggota tubuh terpaksa dipotong kerana diabetes
Kadar kelaziman diabetes di Malaysia jauh lebih cepat daripada yang dijangka, iaitu hampir dua kali ganda jumlahnya dalam dekad lalu.
Memandangkan obesiti menjadi penyumbang utama diabetes, keperluan untuk membendung obesiti adalah penting demi untuk mengurangkan peningkatan kadar diebetes dalam kalangan warga Malaysia. Menurut WHO, Malaysia berada di tangga keenam dengan kadar penghidap diabetes dewasa yang tinggi di rantau ASEAN.
Diabetes di Malaysia dijangka akan terus melonjak berikutan gaya hidup tidak sihat dan tabiat pemakanan yang tidak seimbang dan tidak menyihatkan.
Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan supaya:
- Mendidik penduduk Malaysia mengenai bahaya obesiti dan diabetes;
- Mengenakan cukai 50 % ke atas makanan yang tidak berkhasiat iaitu yang mengandungi banyak gula, lemak, dan bahan penambah dalam usaha untuk tidak menggalakkan pengambilannya;
- Mengenakan cukai khas ke atas minuman ringan memandangkan ia menjadi penyumbang utama kepada masalah obesiti yang dikaitkan dengan diabetes;
- Melarang penjualan minuman ringan bersaiz besar;
- Mengadakan sistem ‘lampu trafik’ pada label makanan untuk menunjukkan paras gula, garam dan lemak yang tidak selamat;
- Menyediakan kemudahan rekreasi yang mencukupi di semua kawasan kediaman penduduk;
- Menghentikan pemberian lesen perniagaan 24 jam kepada tempat-tempat makan;
- Menghentikan syif malam di kilang;
- Mengharamkan mesin minuman di sekolah, hospital, dan tempat awam yang lain;
- Mewajibkan pelabelan yang jelas mengenai kandungan lemak bagi semua makanan termasuk makanan segera;
- Menjalankan kempen berbentuk pendidikan untuk ibu bapa dan anak-anak mengenai bahaya obesiti dan diabetes;
- Menghentikan pusat hiburan yang beroperasi selepas tengah malam.
Sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah-langkah yang drastik untuk membendung obesiti dan diabetes, Malaysia mungkin akhirnya akan menjadi negara penghidap diabetes.
*SM Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan