Ahad, 6 Ogos 2017

Najib pentingkan diri, terdesak terus berkuasa: Anwar



Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim.


SHAH ALAM - Pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara, disifatkan sebagai satu titik hitam dalam sejarah kehakiman dan perlembagaan negara ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan Md Raus dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan tetap diteruskan walaupun menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pakar perundangan tersohor, Majlis Peguam dan wakil-wakil rakyat.

“Paling jelas, Perlembagaan Persekutuan negara ini dengan terang tidak membenarkan pelantikan-pelantikan ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kelmarin, Md Raus mengangkat sumpah Ketua Hakim Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Md Raus mula dilantik ke jawatan itu pada 1 April lalu, mengambil alih tempat Tun Arifin Zakaria yang bersara pada 31 Mac.

Anwar yang juga bekas ketua pembangkang berkata, ketetapan diluluskan oleh Mesyuarat Agung Luar Biasa Majlis Peguam pada 3 Ogos lalu termasuk pengisytiharan hilang kepercayaan terhadap Md Raus membuktikan, Majlis Peguam cukup prihatin terhadap pelantikan tersebut.

“Pelantikan ini menonjolkan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang langsung tidak menghiraukan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam negara ini.

“Tindakan-tindakan ini hanya mementingkan diri sendiri dan menunjukkan betapa terdesaknya beliau untuk terus berkuasa ketika Malaysia dibelenggu skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara,” dakwanya.

Sementara itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan yang mengambil pendirian cukup kuat bagi menentang pelantikan melanggar perlembagaan itu.

“Marilah kita mengukuhkan iltizam dan bersatu bersama Pakatan Harapan untuk mengalahkan BN dalam usaha membangun dan memajukan negara serta berkhidmat demi rakyat, bukannya demi kelompok elit kecil yang tamak haloba, lagi tidak berprinsip," katanya.

Tiada ulasan: