Khamis, 6 Julai 2017

Susah Sangatkah Bahasa Melayu Wahai Para Doktor Sekalian?

Mohd Hazmi Mohd Rusli
Doktor
Baru-baru ini, kecoh di media massa dan media sosial mengenai isu syarat kelulusan Bahasa Melayu yang dikatakan dipandang enteng untuk kerjaya doktor perubatan. Syarat lulus Sijil Pelajaran Malaysia Bahasa Melayu tidak lagi menjadi digunapakai untuk seseorang lulusan doktor perubatan untuk menjalankan amalan perubatannya di Malaysia. 

Ini adalah keputusan yang sangat mengejutkan kerana tidaklah kita tahu bahawasanya Bahasa Melayu ini adalah bahasa yang sulit dan rumit untuk dipelajari.

Akan tetapi, syarat ini telah pun ditarik balik oleh kabinet dan seseorang graduan perubatan harus lulus Bahasa Melayu sebelum menjadi pegawai perubatan yang sah. Perkara ini tidak harus menjadi isu pun dan ini menimbulkan soalan yang jelas – susah sangatkah Bahasa Melayu wahai doktor sekalian?

Bahasa Inggeris tidak menjadi bahasa penting di dunia sekarang secara mendadak. Sewaktu era kegemilangan Islam di antara kurun-kurun ke 8 hingga 13 Masihi, bahasa Arab muncul sebagai bahasa utama dunia. Apabila Asia Tenggara didominasi pengaruh Hindu-Buddha, Sanskrit diangkat sebagai bahasa golongan elit.

english-language-day
 
Lagipula, apabila Srivijaya dan Melaka menguasai rantau kepulauan Melayu, bahasa Melayu dijadikan lingua franca atau bahasa perdagangan rantau ini – sekarang merupakan bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia (sebagai Bahasa Indonesia).

Seiring dengan peredaran zaman, bahasa Inggeris mula menular ke serata dunia sewaktu zaman keemasan Empayar British yang turut merangkumi Malaya, Sabah dan Sarawak dan 1/3 daripada dunia yang menjadi jajahan mereka. Bahasa Inggeris digunakan dengan meluas di dalam perdagangan global serta di dalam penulisan-penulisan keilmuan. Sehingga kini, bahasa Inggeris rata-rata dianggap sebagai bahasa elit termasuk di negara kita sendiri.

Apabila Malaysia (dahulunya Malaya) mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Bahasa Inggeris kini adalah bahasa kedua negara serta merupakan medium komunikasi penting di samping Bahasa Malaysia. Perkembangan pesat negara dipacu menerusi penggunaan dua bahasa ini yang telah menyatukan Malaysia. Di sebalik kepentingan Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan negara, yang menjadikan rakyat Malaysia itu, seorang rakyat Malaysia.

Jika dibanding dengan negara-negara lain, Malaysia adalah sebuah negara yang mendokong toleransi dan kesederhanaan. Ada suatu ketika di Australia dahulu, kaum kulit putih di Australia mengenakan polisi rasis ‘Polisi Australia Kulit Putih’ bagi mengekang kedatangan kaum asing terutama bangsa Cina ke negara berkenaan. Kaum Rohingya di Myanmar sampai sekarang tidak diterima oleh kerajaan Myanmar sebagai warganegara dan dipandang hina sebagai pendatang.

Negara-negara jiran kita sendiri, Thailand dan Indonesia, ada suatu ketika tidak mengizinkan penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan negara tersebut untuk digunapakai oleh rakyatnya. Bahasa Cina sebagai contoh pernah diharamkan di Indonesia mengakibatkan ramai generasi muda Tiong Hua di Indonesia tidak lagi boleh bertutur dalam Bahasa Cina.

Rakyat Malaysia pula sebaliknya diberikan kebebasan seluas-luasnya untuk berpegang teguh kepada bahasa ibunda dan adat resam kaum masing-masing. Tidak seperti kaum Rohingya di Myanmar, kaum-kaum pendatang bukan Melayu pula diberikan hak kerakyatan pada tahun 1957 menjelang kemerdekaan.

Walaubagaimanapun, harus diingat, taraf kewarganegaraan yang diberikan kepada kaum-kaum imigran sewaktu kemerdekaan adalah hasil tolak ansur dengan syarat, salah satunya, bahasa Malaysia dijadikan bahasa kebangsaan.

Di seberang Laut China Selatan, ramai individu berketurunan Tiong Hua di Brunei tidak diberikan kerakyatan di negara tersebut dan kekal sebagai ‘individu tidak bernegara’. Brunei mengenakan syarat yang sangat ketat untuk pengiktirafan kewarganegaraan menerusi ujian bahasa Melayu dan adat resam Melayu yang rumit.

Di seberang Tambak Johor pula, Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong setiap tahun pasti akan menyampaikan ucapan hari kebangsaan negara republik itu di dalam bahasa Melayu, yang merupakan salah satu bahasa kebangsaan Singapura.

Penguasaan bahasa Melayu beliau adalah lebih bagus dari sesetengah rakyat Malaysia dan pastinya memalukan banyak rakyat terutamanya yang mengaku warganegara Malaysia tetapi tidak fasih berbahasa Melayu.

Bukankah Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia? Walaupun syarat lulus Bahasa Melayu telah diperketatkan untuk menjadi seorang pegawai perubatan, isu ini tidak patut pun berlaku dan jelas menunjukkan terdapat sesetengah doktor ataupun graduan lulusan perubatan yang merasakan diri mereka hebat sehingga memandang lekeh salah satu lambang utama negara Malaysia, iaitu Bahasa Melayu.

Adalah menyedihkan sekiranya para doktor yang telah mencapai pendidikan di tahap tertinggi tidak mahu berjuang untuk memartabatkan bahasa kebangsaan negara.

Terdapat beberapa pahlawan kekunci di Facebook yang kerap menghina bahasa Melayu dengan menyatakan bahasa tersebut adalah bahasa kurang lengkap yang tidak berguna. Perlu diingatkan bahawa bahasa Melayu (yang diangkat juga sebagai bahasa kebangsaan Indonesia) adalah antara 10 bahasa yang paling banyak penutur di dunia. Indonesia sendiri adalah sebuah negara keempat paling banyak penduduk di dunia. Jadi bagaimana mungkin bahasa yang antara paling banyak dipertuturkan di dunia adalah bahasa yang kurang lengkap dan tidak berguna?

Sesiapa yang menyatakan bahawa bahasa Melayu tidak berguna adalah individu-individu sombong tak bertempat yang tidak ada semangat cintakan negara dan sepatutnya tidak lagi layak untuk menjadi rakyat Malaysia.

Sukar atau tidak, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berusaha untuk memartabatkan bahasa tersebut tidak kira sama ada kita lulusan dalam atau luar negara, sama ada kita adalah orang Melayu ataupun sebaliknya. Penguasaan bahasa Melayu adalah salah satu ciri yang melambangkan kita sebagai rakyat Malaysia.

Benar, sekiranya seseorang rakyat Malaysia tidak mahu digelar pendatang, maka, pelajarilah dan martabatkanlah bahasa Melayu sebaiknya. Bahasa Melayu pun bukanlah bahasa yang sukar dipelajari pun.

Oleh itu, sulit sangatkah bahasa Melayu untuk kalian wahai para doktor bijak pandai sekalian?


Tiada ulasan: