Pandangan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang bahawa Datuk Husam Musa adalah tokoh paling sesuai mengetuai kerajaan Kelantan jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya umum mendapat reaksi pelbagai pihak. Husam diyakini mampu menjadi pengganti Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin contoh.
Malaysia Dateline mendapatkan pandangan Pensyarah Kanan dari Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berhubung isu ini.
Ikuti pandangan beliau tentang kewajaran Husam sebagai calon Menteri Besar Kelantan.
1. Cadangan Lim Kit Siang menamakan Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan. Apakah signifikannya cadangan itu dilontarkan dan adakah Husam mempunyai kekuatan politik untuk mendapat sokongan pengundi dan Pakatan Harapan jika menang pilihan raya di negeri itu?
Dr Mazlan Ali: Datuk Husam Musa dikenali sebelumnya sebagai seorang ikon politik Kelantan, seorang tokoh Pas yang terkemuka, umumnya sering dilihat orang yang berada dibalik tabir kejayaan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.
Idea-idea dan perancangan pembangunan ekonomi beliau yang segar menyebabkan tokoh ini pernah dikatakan bakal menerajui pemerintahan pasca Tok Guru di Kelantan.
Bagaimanapun, disebabkan Pas sebagai sebuah gerakan harakah dan tadjid, dan letaknya Kelantan sebagai sebuah negeri majoriti Melayu yang berstatus "Serambi Mekah", kedudukan Datuk Husam sebagai golongan profesional sedikit sebanyak merencatkan kemaraannya yang dikelilingi oleh pemimpin-pemimpin berstatus ulama yang sangat percaya kepada konsep kerajaan yang harus dipimpin ulama.
Masalah politik dalaman Pas Kelantan dan perpecahan Pas tahun 2015 akhirnya meletakkan Datuk Husam dalam zon "harumanis" yang dilihat anti kerajaan Pas.
Bagaimanapun, penyertaan beliau dalam Amanah dilihat memberi momentum baru bukan sahaja kepada kedudukan politik beliau, malah kepada Pakatan Harapan seluruhnya.
Saya fikir cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengumumkan Datuk Husam sebagai bakal MB Pakatan Harapan di Kelantan, meskipun dipercayai dibuat secara spontan, tidaklah memeranjatkan sesiapa pun.
'
Ini kerana tiada siapa pun boleh pertikaikan senioriti dan 'track record' beliau dalam politik negeri serambi Mekah itu.
Saya percaya, pengumuman ini (Husam sebagai bakal Menteri Besar) mampu membawa gelombang sokongan politik terhadap Pakatan Harapan dan gabungan part-parti politik pembangkang tiada masalah menerima formula ini.
2.Pas anggap kenyataan Kit Siang membelakangkan gabungan Pakatan Harapan tetapi dari segi strategi politik ia dilihat bagaimana?
Dr Mazlan Ali: Walaupun Pas menganggap kenyataan Kit Siang sebagai membelakangkan Pakatan Harapan, saya menilai tuduhan ini tidak menjejaskan kedudukan politik Pakatan Harapan di Kelantan.Sesiapa pun yang mengumumkan demikian, sama ada Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Mohd Sabu, hakikat dan persepsi politik negeri ini tidak pernah menolak bahawa Datuk Husam Musa adalah pemimpin masa depan yang pernah disia-siakan oleh kepimpinan Pas Kelantan.
3. Selain Husam siapakah tokoh lain yang dikira layak memimpin Kelantan jika Pakatan Harapan menang?
Dr Mazlan Ali: Setakat ini, saya menilai tiada tokoh yang dilihat benar-benar paling layak dipilih sebagai pemimpin yang memenuhi kriteria dan pakej seorang Ketua Eksekutif Negeri, kecuali Datuk Husam.Harus diingat, seorang calon MB bukan hanya perlu dilihat bijak berpolitik, tetapi mestilah dilihat mempunyai visi dan misi yang jelas.
Perlantikan Datuk Husam sebagai Penasihat Amanah Kelantan, meskipun lebih lewat menyertai parti ini adalah petanda jelas pengiktirafan rakan-rakan politik beliau dalam Amanah Kelantan.
4. Melihat kepada sokongan rakyat Kelantan yang berpecah antara Pakatan Harapan dan Pas adakah kali ini Kelantan berkemungkinan akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan atau BN?
Dr Mazlan Ali: Sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan Pas pada PRU-14 akan datang, saya menilai BN mempunyai peluang yang lebih baik untuk merampas negeri ini.
Namun sejak akhir-akhir ini, dalam kajian-kajian yang dibuat sambutan rakyat Kelantan terhadap parti Amanah dan Bersatu semakin meningkat.
Kehadiran parti Bersatu di Kelantan adalah suatu ancaman yang sangat besar kepada Umno.
Saya menilai parti Bersatu mampu merampas kerusi-kerusi BN di Barat dan Selatan manakala Amanah pula mampu menggugat kerusi-kerusi Pas di utara dan Timur Kelantan.
Harus diingat, pengundi-pengundi Kelantan adalah kategori participants (menyerupai karekter pengundi Pantai Barat), dan bilangan pengundi luar (terutama Lembah Klang) dan faktor-faktor ini adalah sangat memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan untuk merampas negeri ini daripada Pas kelak.
5. Atau mungkinkah Pas akan terus kekal memerintah dan kenapa?
Dr Mazlan Ali: Pas bakal kehilangan beberapa kerusinya, saya jangka Amanah mampu merampas antara 7 hingga 8 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).Saya jangka Pas sukar mengekalkan pemerintahannya di negeri Kelantan.
Ini kerana dalam beberapa tahun ini, kerajaan Pas Kelantan dilihat gagal menyelesaikan beberapa isu penting yang melibatkan kepentingan rakyat Kelantan antaranya adalah isu banjir besar 2015.
Selepas mengalami perpecahan tahun 2015, kerajaan Pas juga dilihat terumbang-ambing, diserang dari segenap penjuru disebabkan kelemahan-kelemahan dalam pentadbiran kerajaan Menteri Besar masa kini.
Isu pembalakan yang membabitkan kepentingan orang Asli akhirnya menjadi isu nasional dan viral seluruh dunia serta beberapa isu yang membabitkan konflik undang-undang telah menambahkan lagi tekanan dan bebanan yang ditanggung oleh Pas Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan