Blogger pro-kerajaan, Lim Sian See berkata, 4 sistem
pengangkutan awam utama yang dilaksanakan pada 1990-an perlu
diselamatkan kerajaan selepas beberapa tahun beroperasi.
PETALING JAYA: Seorang blogger pro-kerajaan membandingkan pencapaian projek pengangkutan awam yang dilaksanakan Datuk Seri Najib Razak dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana semua inisitif bekas perdana menteri itu muflis.
Blogger politik, Lim Sian See melalui Facebooknya semalam menekankan kegagalan KL Monorail, Putra LRT, Star LRT and perkhidmatan bas Intrakota.
“Semua 4 projek pengangkutan awam utama Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Dr Mahathir diserahkan kepada syarikat swasta melalui konsesi dan kemudiannya bankrap.
“Kerajaan perlu menyelamatkan semuanya,” katanya sambil menambah Prasarana milik kerajaan perlu mengambil alih 4 perkhidmatan pengangkutan awam itu untuk menyelamatkan syarikat terbabit yang gagal mengendalikan operasinya.
Lim berkata, tiada projek pengangkutan awam yang dirancang Najib – lanjutan LRT1, LRT2 dan MRT – dilaksanakan dengan perjanjian konsesi dan masih dikendalikan kerajaan.
“Tiada keperluan untuk perjanjian konsesi yang memerlukan kenaikan bayaran berkala dan projek itu disiapkan tepat pada masanya dan tidak melebihi bajet atau siap lebih awal serta di bawah anggaran kos.”
Merujuk Monorail KL, katanya, ia adalah projek diswastakan yang diluluskan dalam mesyuarat Kabinet pada Jun 1989.
“Kosnya dianggarkan pada RM143 juta ketika itu. Tetapi, apabila selesai dan dibuka pada 2003, ia dikatakan menelan belanja RM1.18 bilion.
“Syarikat itu muflis dan diselamatkan serta diambil alih Prasarana pada 2007 pada harga RM882 juta.”
Katanya, begitu juga dengan Putra LRT dan Star LRT yang terpaksa diselamatkan Prasarana pada 2002 dengan bayaran berjumlah RM9 bilion.
Putra LRT hanya beroperasi selama 4 tahun sebelum diambil alih, manakala Star LRT berkhidmat selama 6 tahun di bawah pemegang konsesi swasta.
“Perkhidmatan bas Intrakota yang mula beroperasi pada 1998 juga muflis dan terpaksa diambil alih Prasarana pada 2013 dengan kos RM177 juta.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan