Isnin, 6 Februari 2017

Selepas China, ekspatriat India dikecualikan visa

 ARIF ATAN
 
 
Ahmad Zahid HamidiAhmad Zahid Hamidi

Kerajaan memberi pengecualian visa melancong ke Malaysia kepada golongan ahli perniagaan, profesional dan teknikal warga India yang bekerja di luar negara mereka.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, keputusan Kabinet tersebut merupakan lanjutan kepada pengecualian sama yang diberi kepada pelancong dari India.

Naib Presiden Umno itu berkata, kemudahan berkenaan membolehkan golongan ekspatriat warga negara tersebut yang bekerja di negara lain melancong ke Malaysia pada cuti panjang musim panas atau cuti perayaan tertentu.

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerja ke Qatar dengan melakukan kunjungan hormat terhadap Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani semalam.

Untuk rekod, Malaysia menerima seramai 451,295 pengunjung dari India bagi tempoh lapan bulan pertama tahun lalu mengikut Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Dalam hal berkaitan, kerajaan sejak 1 Oktober 2015 memberi pengecualian visa kepada pelancong dari China yang masuk secara berkumpulan sehingga 31 Mac 2016 untuk lawatan tidak melebihi 15 hari yang diuruskan agensi pelancongan sebelum melanjutkan tempoh berkenaan sehingga Disember tahun ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keputusan tersebut ekoran pertambahan bilangan pelancong tembok besar itu.

Menurutnya, sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun lalu, Malaysia telah menerima seramai 1,406,417 pelancong China, iaitu meningkat sebanyak 26.3 peratus berbanding 1,113,508 orang bagi tempoh sama tahun 2015.

Pemberian visa turut dipermudahkan kepada pelancong China melalui pengenalan visa elektronik (e-visa) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatan Perdana Menteri China, Li Keqiang ke Kuala Lumpur pada November 2015.

Bagaimanapun, kelonggaran kemasukan jutaan warga asing ke Malaysia atas alasan pelancongan itu menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan negara bagi tempoh jangka panjang.

Tiada ulasan: