Khamis, 9 Februari 2017

PKR terbit buku penerangan RUU355

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR mengambil inisiatif menerbitkan sebuah buku risalah mengenai pendiriannya bersabit Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
 
Menurut Ketua Penerangannya Syed Ibrahim Syed Noh, buku yang bertajuk “Pemerkasaan Perundangan Syariah Di Malaysia” ini juga mahu memberi penerangan berkaitan isu itu sekaligus meleraikan kekusutan dan kekeliruan yang timbul. 
 
"Ia turut menyentuh kecelaruan kefahaman dan persepsi masyarakat terhadap RUU355, memetik panduan dan contoh tindakan oleh ilmuan dan pemerintah dalam soal penetapan hukum, menegaskan kepentingan melaksana keadilan dan menangkis sikap melampau serta merujuk kepada pengalaman dan perkembangan negara-negara umat Islam yang lain," katanya pada kenyataan media.
 
Katanya, buku risalah setebal 34 muka surat berkenaan merupakan inisiatif Biro Penerangan dan Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.
 
Buku yang dicetak dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu memuatkan pendirian parti itu berhubung pindaan akta tersebut, berasaskan kepada pendirian Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 20 Oktober 2016.
 
Tambahnya, PKR juga akan mengedar buku risalah berkenaan melalui saluran PKR negeri dan cabang PKR seluruh negara terutamanya kepada masjid-masjid, surau dan madrasah.
 
"Penyerahan khusus juga akan dibuat kepada institusi-institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pejabat-pejabat mufti negeri, jabatan-jabatan dan majlis-majlis agama Islam negeri.
 
"Selain itu, penyerahan juga akan dibuat kepada Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri serta badan-badan bukan kerajaan Islam dan bukan Islam. Tidak ketinggalan juga kepada parti-parti politik dan pihak media," katanya.
 
Tambahnya, buku risalah berkenaan boleh dirujuk secara atas talian melalui laman sesawang PKR, http://keadilanrakyat.org/syariah.
 
PAS, diketuai presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini membawa usul untuk meminda Akta 355, yang menimbulkan kritikan daripada parti pembangkang lain.
 
Ia bagi membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman lebih berat dengan meningkatkan had hukuman penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan kepada penjara sehingga 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 kali sebatan.
 
PAS juga mahu menganjurkan perhimpunan di Padang Merbok bagi mendapatkan sokongan rakyat berhubung pindaan itu pada 18 Februari ini.
 
 

Tiada ulasan: