Khamis, 9 Februari 2017

Apa fakta label Kelantan negeri termiskin?, soal Pemuda PAS

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas hari ini menempelak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa Kelantan di bawah pentadbiran Pas merupakan sebuah negeri muflis dan gagal.
 
Bersandarkan kepada kajian serta fakta nombor, Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari menangkis tohmahan Guan Eng itu dengan menjelaskan bahawa ketika ini Kelantan berada pada kedudukan ketiga tertinggi dari sudut pemilikan kediaman di Malaysia iaitu sebanyak 83.9 peratus.
 
Berbeza dengan Pulau Pinang, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan memberitahu, sumber dari Institut Penyelidikan Khazanah pada 2016 menunjukkan negeri itu sebagai ketiga tertinggi daripada aspek ketidakmampuan rakyat untuk membeli rumah.
 
Jelas Ahmad Fadhli, sekalipun pendapatan bulanan (pertengahan) rakyat Pulau Pinang adalah sebanyak RM4,702, tetapi harga rumah (pertengahan) di negeri itu adalah RM295,000.
 
“Berbanding Kelantan yang walaupun gaji bulanan (pertengahan) di negeri ini RM2,716, namun harga rumah bagi kategori serupa hanya sekitar RM157,740.
 
“Ini sekali gus meletakkan Pulau Pinang berada di tangga indeks 5.2 iaitu sangat tidak mampu dimiliki berbanding Kelantan hanya pada kedudukan indeks 4.8. Apa yang lebihnya Pulau Pinang sehingga anda (Guan Eng) melabelkan kami sebagai negeri hampir bankrap?” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.
 
Selain itu, Ahmad Fadhli turut mengemukakan fakta mengenai kadar kemiskinan di Kelantan yang telah mencatatkan penurunan daripada 2.7 peratus pada 2012 kepada 0.9 peratus pada 2014.
 
Beliau juga menjelaskan, pencapaian Kelantan daripada sudut anggaran hasil tahunan negeri meningkat dari setahun ke setahun dengan 2017 diunjurkan memperoleh hasil sebanyak RM636.98 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM179.67 juta, hasil bukan cukai RM308 juta dan terimaan bukan hasil RM149 juta.
 
“Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM43.18 juta atau pun 7.27 peratus berbanding anggaran hasil tahun 2016 sebanyak RM593.8 juta,” jelas beliau.
 
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli secara sinis menyindir Guan Eng apabila memberitahu kegagalan pemimpin Kelantan membeli rumah banglo yang dilengkapi kolam renang bukanlah kerana negeri itu tidak mempunyai wang, tetapi disebabkan prinsip membangun bersama Islam.
 
“Prinsip ini sudah cukup menyejukkan tanpa memerlukan kolam renang untuk menurunkan suhu kepanasan. Hakikatnya membuat perbandingan `apple to apple’ di antara dua kerajaan negeri ini tidak adil kerana banyak lagi faktor perlu ditimbangkan. Namun, menuduh dengan bahasa kesat bahawa Kelantan sebuah negeri yang bankrap merupakan satu bentuk dakwaan yang sangat tidak berperikemanusiaan.
 
“Saya syorkan kepada Guan Eng, nikmatilah hari-hari terakhir sebagai seorang manusia yang bebas dengan sebaik mungkin. Bimbang nanti jika anda ‘ke dalam’ untuk kali kedua, lebih ramai yang bergembira daripada yang bersimpati dengan nasib tuan,” katanya sinis.
 
 

Tiada ulasan: