Jumaat, 10 Februari 2017

MPK rampas bendera pembangkang, 'petik' nama TMJ

 

Majlis Perbandaran Kluang (MPK) awal pagi tadi mencabut dan merampas kain rentang serta bendera parti pembangkang di kawasan di mana Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberikan ceramahnya malam ini.

Alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan itu ialah Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan melalui kawasan tersebut dan beliau berkemungkinan tidak suka melihat kain rentang dan bendera dipasang.

Bagaimanapun, barangan yang dirampas sekitar jam 2 pagi itu- yang terdiri daripada dua kain rentang dan 65 bendera- telah dikembalikan kepada pihak penganjur pada jam 11 pagi tadi.
Penganjur kemudian memasang semula bendera dan kain rentang berkenaan.

Selain Muhyiddin, ceramah pada malam ini akan menampilkan Ketua DAP Johor dan anggota parlimen Kluang Liew Chin Tong, Ketua PKR Johor, Hassan Karim dan Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub.

Ceramah berkenaan bertajuk 'Bicara Rakyat' akan diadakan di Pusat Komuniti Kluang DAP jam 8.30 malam.

Menurut laporan polis dibuat penyelaras BERSATU Kluang, Radzali Mohd Noor, pegawai MPK pada mulanya meminta pihak penganjur supaya membuka kain rentang dan bendera kira-kira jam 8.30 malam.

Namun, pihaknya meminta surat arahan yang didakwa daripada Yang Dipertua MPK agar kesemua bendera di kawasan berkenaan diturunkan.

"Arahan yang didakwa datangnya dari Yang Dipertua MPK mengarahkan agar bendera-bendera tersebut diturunkan dengan alasan kehadiran Tunku Mahkota Johor. Seperti yang disebut oleh pegawai MPK, (Tunku Ismail) akan melalui jalan tersebut yang kononnya mencacatkan pandangan Tunku seolah-olah Tunku tidak gemar melihatnya.

"Walhal Tunku Mahkota Johor sangat menyayangi rakyatnya dan berfikiran terbuka," kata Radzali dalam laporan polisnya.

Radzali kemudian mendakwa, pegawai penguatkuasa berkenaan gagal menunjukkan salinan surat arahan seperti yang dimintanya.

"Kami dari BERSATU Kluang, sebagai parti yang berdaftar secara sah merasa kesal seolah-olah ada arahan luar yang mengarahkan rampasan peralatan kami sehingga MPK seolah-olah diperalat oleh parti tertentu," kata laporan polis itu lagi.

Tiada ulasan: