Rabu, 8 Februari 2017

Jangan sampai hilang identiti jika Proton dibeli syarikat China, kata Amanah

 Berita Daily Staff

Isu membabitkan syarikat berkepentingan nasional harus diteliti dengan cermat agar negara tidak hilang syarikat-syarikat tersebut

KUALA LUMPUR: Fenomena kemasukan syarikat-syarikat gergasi dari China ke negara-negara dunia ketiga bukan asing untuk rakyat Malaysia, namun isu kepentingan nasional harus diimbangkan dengan aspek perniagaan, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata, parti itu tidak menolak kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara namun isu membabitkan syarikat berkepentingan nasional harus diteliti dengan cermat agar negara tidak hilang syarikat-syarikat tersebut.

“Fenomena yang tidak boleh dinafikan sekarang adalah penguasaan syarikat besar dari China khususnya di negara dunia ketiga. Ini fenomena yang harus Malaysia tangani dengan cermat. Bukan isu China sahaja, tetapi isu penguasaan gergasi walaupun dari India, Eropah atau Amerika Syarikat.

“Tapi kepentingan nasional perlu dilihat dari perspektif yang mampu kita kawal. Bukan kita nak nyatakan anti FDI, perniagaan dan China itu sendiri yang boleh dijadikan sentimen perkauman. Kepentingan nasional harus jadi isu yang diperhatikan dengan cermat,” katanya, dalam satu kenyataan kepada Berita Daily, hari ini.

Laporan media di dalam dan luar negara mengatakan ura-ura gergasi automotif China, Geely Automobile Holdings Ltd. (Geely) difahamkan berpeluang cerah untuk memiliki syarikat automotif nasional, Proton Holdings Bhd (Proton).

Proton sejak sekian lama juga mencari rakan kongsi asing untuk membantu mereka lebih-lebih lagi ketika kedudukan kewangannya mencatatkan kerugian setiap tahun.

Bagaimanapun sehingga hari ini, masih belum ada perjanjian hitam putih dimeterai antara syarikat pengeluar kereta nasional itu dengan mana-mana syarikat yang antaranya termasuklah Renault, PSA dan Suzuki.

“Sebelum ini (Perdana Menteri) Najib (Razak) pergi ke China pinjam hampir RM150 bilion, itu penanda aras bagaimana penguasaan syarikat China terhadap dunia perniagaan dan perdagangan di Malaysia,” kata Salahuddin, merujuk kepada beberapa projek dan pelaburan dari negara Komunis itu di Malaysia.

Beliau berkata, objektif awal penubuhan Proton perlu diambil kira sebelum sebarang perjanjian dimeterai.

“Kita perlu lihat objektif awal Proton ditubuhkan. Ada ura-ura menyatakan bahawa syarikat Proton ini akan dibeli syarikat China ini membuka kepada spekulasi yang cukup terkesan kepada rakyat.

“Ia bukan masalah China, Melayu atau anti China. Ia isu penguasaan syarikat gergasi sehingga hilangkan kepentingan negara. Proton memang bermasalah tapi jangan sampai masalah yang dihadapi syarikat nasional ini diambil kesempatan negara luar,” katanya lagi.

Beliau berkata sebarang keputusan yang diambil seharusnya mengambil kira faktor kepentingan negara dan memastikan identiti dan objektif awal penubuhan Proton itu kekal.

“Penting jangan hilang identiti dan matlamat asal Proton itu ditubuhkan,” katanya, dan menambah, telah banyak syarikat-syarikat  berkepentingan nasional yang hilang sebelum ini.

“Tidak datangnya syarikat gergasi ini pun banyak identiti yang hilang, contohnya Bank Bumiputera, hilang dan juga masalah dalaman yang dicipta kita sendiri. Kita tidak mampu lagi nak hilang entiti kita akibat kelemahan yang berpunca daripada kita sendiri.

Tiada ulasan: