shahbudindotcom
Masih
kedapatan sebenarnya pemimpin-pemimpin UMNO, selain yang berjawatan
Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen, yang tetap mengharapkan Najib Razak
dapat meletak jawatan sebelum pilihanraya akan datang dan seterusnya
memberi laluan kepada orang lain mengambil alih tempatnya.
Setelah
pertemuan dan berbaiknya semula Tun Mahathir Mohamad dengan Anwar,
tidak sedikit yang jadi susah hati dan semakin hilang keyakinan mengenai
masa depan UMNO dan BN.
Mereka kini melihat masa depan UMNO, selagi dipimpin Najib, semakin kabur dan tidak menentu masa depannya.
Di
sebalik Zahid Hamidi mengatakan pertemuan dengan Anwar itu sebagai
tidak ikhlas dan langkah terdesak Tun Mahathir untuk meraih sokongan
pembangkang, kata mereka, apakah UMNO dan BN tidak jadi terdesak setelah
melihat kedua-dua pemimpin itu berbaik semula?
Jika
pada 2013, Anwar Ibrahim berjaya menjadikan 52 peratus undi popular
rakyat memihak kepada pembangkang, apakah dengan adanya Tun Mahathir dan
Muhyiddin Yassin bersama mereka, tidak mungkin angka itu menginjak
kepada 65 peratus, 70 peratus atau lebih daripada itu?
Realiti
itu tidaklah sukar untuk difahami. Bukan saja pemimpin pertengahan atau
ahli-ahli biasa saja yang mudah memahaminya, malah majoriti Ketua
Bahagian, Ahli Parlimen dan menteri-menteri UMNO juga sedar
mengenainya.
Tetapi,
ibarat "sudah tersarung stokin busuk", itulah yang terjadi kepada
pemimpin-pemimpin UMNO. Tidak ramai yang mahu memakai stokin busuk
kerana ia membuatkan seseorang tidak selesa dan hilang keyakinan diri
sepanjang hari.
Kadang-kadang,
disebabkan kesibukan dan tidak cermat, kerapkali antara kita tersarung
stokin busuk yang sudah beberapa hari tidak dibasuh. Ia memang tidak
menyelesakan, malah merimaskan.
Mahu
ditanggal dan berkasut tanpa stokin, lagi kelihatan janggal. Mahu pergi
ke kedai dan menukarnya di sana, terasa malu pula kerana baunya yang
semerbak itu.
Mahu
tidak mahu, jika sudah tersarung stokin busuk, terpaksalah seseorang
itu memakainya sepanjang hari sehingga balik ke rumah pada lewat petang
atau malamnya.
Itulah
dilema pemimpin-pemimpin UMNO sekarang. Dalam UMNO hanya Ketua Bahagian
dan Ahli Parlimen yang benar-benar ada kuasa menyingkirkan Najib
sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Namun,
mereka ini majoritinya sudah termakan budi Najib. Ada yang diberikan
duit jutaan ringgit seperti yang berlaku kepada Shahrir Samad dan Ahmad
Maslan. Tun Mahathir ada menyebut sebelum ini, jika Shahrir Samad dan
Ahmad Maslan menerima duit daripada Najib, adalah janggal jika Ketua
Bahagian lain tidak diberikan sama duit oleh Najib.
Ada
pula yang diberikan jawatan seperti menteri, timbalan menteri atau
pengerusi syarikat GLC supaya jadi termakan budi dengan Najib. Yang
lain-lain, diberikan pula kontrak, peluang perniagaan, anugerah gelaran
dan pelbagai lagi. Pendeknya, di kalangan Ketua Bahagian UMNO dan Ahli
Parlimen, tidak ada yang terkecuali daripada menerima habuan
masing-masing.
Oleh
kerana sudah termakan budi dan menjadikan mereka seperti seseorang yang
tersarung stokin busuk tadi, apa lagi yang mampu mereka lakukan. Tidak
selesa atau rimas, mereka akan terus memakainya biar bagaimana besar
sekali pun masalah yang ditimbulkan oleh Najib.
Bukan
mereka tidak sedar beban yang dibawa Najib kepada UMNO dan kerajaan.
Bukan mereka tidak sedar UMNO kini diambang kehancuran dan negara kian
dipandang jelek di peringkat antarabangsa. Mereka tiada pilihan selain
terpaksa menyokong dan mempertahankan Najib sehingga ke penghujung
perjuangan.
Sebab
itu, Tun Mahathir berulangkali menyatakan UMNO kini sudah jadi parti
Najib. Yang dipertahankan bukan lagi UMNO, tetapi Najib. Selagi Najib
ada, mereka akan terus mempertahankannya meskipun sedar ketidakselesaan
yang diakibatkan olehnya sebagaimana tidak selesanya apabila tersarung
stokin yang sudah busuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan