Anne Muhammad
Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman menafikan parti itu
berunding dengan PKR untuk menentukan pembahagian kerusi dalam Pilihan
Raya Umum (PRU) ke-14.
Katanya PAS dan PKR kekal dengan kerusi masing-masing dan kini
terserah kepada DAP untuk memberi kerusi kepada Parti Amanah Negara
(AMANAH).
“Setakat yang kita (PAS) dan PKR setuju, semua kerusi kita kekal sebagaimana yang sedia ada mengikut PRU13.
“Kita tak akan bagi kerusi, tumpuan PKR adalah kerusi PKR dan tumpuan
PAS adalah kerusi PAS. Sekarang terpulang pada DAP lah kalau dia nak
bagi kerusi pada AMANAH,” katanya kepada Malaysiakini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan akar umbi AMANAH yang mendakwa PAS kini menggunakan PKR untuk membuat rundingan bagi pihaknya dalam menentukan kerusi untuk ditandingi pada PRU14.
Semalam Naib Ketua AMANAH Sepang, Abdul Halim Mohd Sharif turut
memberi amaran kepada PAS supaya jangan sekali-kali mencampuri dan
memperkudakan PKR dalam rundingan kerusi yang melibatkan parti-parti
dalam Pakatan Harapan.
Pada masa sama, Abdul Halim turut menggesa PKR menyatakan pendirian
mereka sama ada mahu terus 'bersekongkol' dengan PAS atau meninggalkan
AMANAH bersama DAP dalam gabungan itu.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga ADUN Paya Jaras berkata
beliau tidak tahu mengapa AMANAH mengeluarkan kenyataan
sedemikian, namun PAS tidak akan melayan perkara tersebut.
“Dia boleh cakap apa dia nak cakap sebab dia tak ada kerusi. Kita tak
akan layan kata-kata macam tu sebab kita tak ada kepentingan dengan
AMANAH.
“(Dan) kita tak perlu berunding sebab kita dah ada kerusi,” tegasnya.
Pada PRU13, Pakatan Rakyat- gabungan parti PAS, PKR dan DAP memenangi
44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
PKR memenangi 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. BN memenangi 12 kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan