Jumaat, 2 September 2016

PAS mahu pertahan Putrajaya, belum bincang dengan Pribumi - Iskandar

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad mengulangi kenyataannya bahawa PAS tidak akan melepaskan mana-mana kerusi milik parti itu untuk ditandingi oleh parti pembangkang lain.
 
Malah katanya, PAS akan tetap meletakkan calon di semua kerusi yang pernah ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Amanah Putrajaya yang mahu bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Pribumi, Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di Putrajaya.
 
"Kita tidak ada perbincangan lagi dengan (Pribumi) BERSATU. Buat masa ini semua kerusi yang PAS bertanding pada PRU 2013 akan ditandingi oleh PAS pada PRU akan datang," katanya kepada Antarapos menerusi Whatapps.
 
Baru-baru ini Pengarah Komunikasi Amanah Putrajaya, Mohd Radzi Abu Bakar mencadangkan Mahathir bertanding di kerusi Putrajaya menggantikan bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa bagi menghadapi Umno-BN pada PRU14.
 
Menurut Mohd Radzi, idea itu juga telah dipersetujui Husam yang sebelum ini diletakkan sebagai calon pembangkang di Putrajaya pada PRU13 atas tiket PAS.
 
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub hari ini menyambut baik saranan berkenaan namun berkata satu perbincangan ke arah itu perlu dijalankan antara PH dan Pribumi sebelum apa-apa keputusan dibuat.
 
 

Tiada ulasan: