Khamis, 1 September 2016
MP Langkawi tak bodoh sombong lagi
Oleh Subky Latif
TIDAK ada orang politik dilihat paling bodoh dan sombong zaman ini selain daripada Anggota Parlimen BN Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad. Dia hendak menunjukkan kecekapannya mentafsirkan perlembagaan dan sekali gus mentakwil ketepatan Jabatan Kehakiman Amerika tentang yang menggunakan MO1 sebagai dalang di belakang skandal 1MDB.
Sekalipun MO1 itu tidak dinamakan tetapi cacing dan ulat bulu pun dapat mengagak orangnya. Tiba-tiba sang jurutera Langkawi mengaitkan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kedah sebagai orang yang tepat menjadi MO1 itu bukan orang yang disangka oleh cacing dan ulat bulu.
Agong langsung tidak ada dalam kamus DOJ Amerika bahkan sikitpun tak sangkut dengan 1MDB, tapi budak Langkawi entah apa kena dengan otaknya menyebut Agong dalam analisisnya. Sama ada huraiannya betul atau karut, menyentuh nama Raja sengaja mencari penyakit.
Orang politik tak sentuh langsung Raja selain dari hendak menyatakan kesetiaannya saja. Jika orang politik yang jahat menggunakan nama Raja, tujuannya untuk menyusahkan seteru politiknya dengan mengkononkan orang itu tak suka Raja, derhaka dan lain-lain.
MP Langkawi dikenal orang di luar Langkawi. Dengan analisis bodohnya itu dia dikenali oleh sekarang. Dengan statusnya bila seteru politiknya mengecam dan menuntut dia minta maaf kepada raja, dia berkeras menolak kerana padanya dia tidak bersalah. Tidak sekali-kali dia akan minta ampun, sedang adat Melayu zaman berzaman baik salah atau tidak, rakyat melafaz ‘Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.’ Kemudian barulah sembahkan apa-apa.
Ir. Nawawi bagaikan pantang hendak minta maaf. Baginya dia tak bersalah. Kerana dia mengaji ilmu kejuruteraan, agaknya dia tak tahu adat dan pantang larang antara rakyat dan Rajanya. Orang macam ini patutnya terima kursus dari BTN dulu sebelum jadi calon Umno. Mungkin ini kelemahan Dr. Rais Yatim sebagai penasihat adat dan budaya Melayu, gagal menasihat MP Umno tentang adat istiadat Melayu.
Kerana dia dirasakan jahil dalam adat resam Melayu itu, keengganannya minta maaf itu dirasakan dia seorang MP yang bodoh sombong. Sekalian Raja itu sejahat Almarhum Mangkat Dijulang atau macam Raja Bersiung menjadikan rakyat bahan gulai kari santapan hariannya, orang Melayu tetap berbahasa terhadap baginda Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.
Salah cakap rakyat dikira oleh setengah sebagai hamba, boleh dikira tidak beradab dan pantang orang Melayu derhaka. Demikian cara berfikir orang Melayu mengikut kaedah Hang Tuah.
Mungkin ia diwarisi sejak zaman jahiliyah betapa Raja itu ibarat tuhan seperti yang Namrud dan Firaun yang menuhankan diri sendiri, tetapi konsep ketuhanan itu ialah Tuhan iaitu Allah adalah Maha Sempurna dari sebarang kelemahan. Yang sentiasa bersalah ialah hamba sebagai makhluk.
Maka hamba mesti mohon ampun setiap masa selagi belum mati. Nabi SAW yang maksum beristighfar 100 kali sehari sekurang-kurangnya.
Sekalipun taat kepada Raja itu tidak sama taat kepada Tuhan, tetapi orang Melayu setelah menerima Islam ada transformasi ketaatan itu, minta maaf pada Raja adalah adat bukan ibadat.
Baguslah MP Nawawi minta maaf tidak sekadar beribu-ribu ampun tetapi berjuta ampun. Bila dia mengubah kesombongannya, tidaklah dikira bodoh sombong lagi, bahkan normal biasa.
Memandangkan songlap dana 1MDB itu berbilon, maka permohonan ampunnya tidak sekadar berjuta-juta ampun. Sepatutnya Ampun Tuanku berbilion-bilon ampun, sembah patik harap diampun.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan