Khamis, 1 September 2016

Lebih 200 pasangan timang bayi merdeka

BERNAMA
 
 
Jururawat di HKL bergambar bersama 10 daripada 20 bayi merdeka yang dilahirkan sempena hari kemerdekaan negara yang ke 59 hari ini.Jururawat di HKL bergambar bersama 10 daripada 20 bayi merdeka yang dilahirkan sempena hari kemerdekaan negara yang ke 59 hari ini.


Ketika negara menyambut Hari Kebangsaan ke-59 hari ini, tarikh keramat itu turut menjadi hari bersejarah buat lebih 200 pasangan suami isteri yang bertuah menyambut kehadiran anggota baharu dalam keluarga mereka.

Di ibu negara, sebanyak 18 kelahiran bayi Merdeka dicatatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak detik 12 tengah malam tadi dengan 10 bayi lelaki dan lapan perempuan, setakat petang ini.

Sementara di SELANGOR, 40 kelahiran bayi Merdeka direkodkan terdiri daripada 21 bayi lelaki dan 19 bayi perempuan, masing-masing di Hospital Selayang (sembilan), Hospital Sungai Buloh (18) dan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (13).

Di PUTRAJAYA pula seramai sembilan kelahiran bayi Merdeka direkodkan di Hospital Putrajaya dengan tiga lelaki dan enam perempuan.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata seramai 12 bayi Merdeka dilahirkan setakat pukul 12 tengah hari tadi di Hospital Melaka dengan 10 bayi lelaki manakala selebihnya perempuan.

Bayi Merdeka pertama dilahirkan seorang ibu warga Indonesia, Tifani Petros, 32, iaitu bayi lelaki seberat 2.7 kg pada pukul 2.18 pagi tadi manakala bayi Merdeka ke-12 pula bayi lelaki seberat 2.9 kg dilahirkan pada pukul 10.33 pagi tadi.

"Saya berharap bayi Merdeka dilahirkan hari ini sentiasa berada dalam keadaan sihat dan menyumbang dari segi bilangan penduduk negeri juga negara, selain menjadi warganegara berguna suatu hari nanti," katanya kepada pemberita selepas melawat bayi Merdeka itu di Hospital Melaka.

Di SEREMBAN, seramai 11 bayi iaitu enam bayi lelaki dan lima perempuan dilahirkan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, dengan bayi pertama dilahirkan pada pukul 12.23 pagi tadi.

Pengarah HTJ Dr. Ariffin Mohamad berkata daripada jumlah itu, 10 adalah berketurunan Melayu manakala seorang India dengan tiga bayi lahir secara normal, manakala lapan bayi secara pembedahan.

Sementara itu, jumlah kelahiran bayi di HKL kini meningkat kepada 20 orang daripada 18 pada tengah hari tadi.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi HKL Dr Wan Syahirah Yang Mohsin berkata daripada jumlah itu 12 bayi lelaki dan lapan bayi perempuan dilahirkan dan bayi 'merdeka' pertama lelaki dilahirkan oleh seorang setiausaha syarikat di Gombak pada pukul 12.32 pagi.

Beliau berkata daripada 20 kelahiran itu, 16 terdiri daripada bayi berbangsa Melayu, tiga India dan satu warganegara Indonesia.

Katanya, 15 kelahiran adalah secara normal manakala lima lagi yang lain melalui pembedahan Caesarean.
"Tiada kelahiran bayi kembar dicatatkan sepertimana pada tahun lepas, manakala bayi paling berat adalah 3.6 kg dan paling ringan adalah 1.9 kg," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, jumlah kelahiran pada hari ini dijangka bertambah lagi sehingga tengah malam ini.
Ibu bapa bayi 'merdeka' pertama itu, Nur Asyikin Abdul Razak, 29, dan Kamal Faizal Kamarudin, 29, berkata bayi mereka seberat 3.27 kg dilahirkan secara normal.

"Saya tidak menjangka bayi akan lahir pada tarikh bersejarah ini memandangkan tarikh sepatutnya bersalin adalah pada 13 Sept, namun saya gembira dengan kelahiran ini dan bersyukur segalanya berjalan lancar," kata ibu itu.

Sementara itu, seorang bayi 'merdeka' perempuan berbangsa India seberat 2.78 kg dilahirkan pada pukul 4.52 pagi.

Ibu bayi tersebut K. Hemalatha, 29, berkata beliau terharu dengan kelahiran anak sulungnya yang juga merupakan cucu pertama buat ibu bapanya.

Di PAHANG, seramai 19 bayi dilahirkan setakat 10 pagi tadi, termasuk sepasang kembar lelaki dan perempuan.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata Hospital Tengku Ampuan Afzan di
Kuantan mencatatkan kelahiran tertinggi seramai lapan bayi diikuti Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh (tujuh), Hospital Kuala Lipis (dua) manakala Hospital Pekan dan Hospital Rompin masing-masing seorang bayi.

Di PERLIS, sebanyak sembilan bayi dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), terdiri daripada dua bayi perempuan dan tujuh lelaki dengan bayi pertama dilahirkan pada 12.57 malam tadi.

"Lapan bayi itu dilahirkan secara normal dan berbangsa Melayu manakala seorang berbangsa Tionghoa yang dilahirkan secara pembedahan dengan berat 4.66 kg," katanya.

Di PULAU PINANG, dua bayi dilahirkan di Hospital Pulau Pinang. Seorang ibu Nursofina Johan Shahain ,31, menzahirkan keterujaannya apabila melahirkan anak keduanya pada tarikh yang sangat bermakna.

Perasaan sama turut dikongsi seorang lagi ibu Asruwati Abdullah, 33, yang melahirkan anak lelakinya pada jam 2 pagi tadi.

Di JOHOR, seorang bayi perempuan seberat 3.1kg dilahirkan di Hospital KPJ Pakar Puteri pada 10.37 pagi ini.

Bayi yang dinamakan Nur Adriana Nafisah itu merupakan anak sulung kepada pasangan Nuramira Mohamad, 23, seorang suri rumah dan Mohamad Anwaruddin Abdul Rahaman, 26, kakitangan Tenaga Nasional Berhad.

Nuramira yang turut diraikan Pengarah Eksekutif Hospital KPJ Pakar Puteri, Khairun Ahmaddi berkata dia berasa gembira dan tidak menyangka anaknya lahir ketika seluruh rakyat Malaysia sedang menyambut Hari Kebangsaan ke-59.

Di KELANTAN, seramai 10 bayi dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab iaitu tujuh bayi perempuan dan tiga bayi lelaki sehingga pukul 7 pagi tadi.

Di PERAK, sebanyak sembilan bayi dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun dengan kelahiran pertama kira-kira 12.25 malam tadi dan bayi kesembilan pada 10.23 pagi ini.

Hospital Pantai Ipoh pula merekodkan lima kelahiran bayi lelaki dengan kelahiran pertama pada pukul 12.14 malam dan yang akhir sekali pada 9.51 pagi ini.

Di TERENGGANU, seramai 34 bayi iaitu 20 lelaki dan 14 perempuan selamat dilahirkan di beberapa hospital daerah di negeri ini sehingga pukul 1 tengah hari tadi.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkata daripada jumlah itu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), mencatatkan kelahiran paling ramai iaitu seramai 21 orang.

Di SABAH, seramai 29 bayi Merdeka, 15 daripadanya bayi lelaki, dilahirkan di Hospital Kanak-Kanak Likas dekat sini, sehingga jam 1.30 tengah hari tadi.

Pakar Sakit Puan Hospital Kanak-Kanak Likas, Dr Anuradha Suberamaniam berkata bayi pertama yang dilahirkan ialah bayi perempuan pada 12.21 pagi, seberat 3.1kg oleh seorang guru, Mastura Talip.

Di KEDAH, seramai 18 bayi selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan tujuh bayi lelaki dan 11 bayi perempuan sehingga pukul 3 petang tadi.

Pengarah HSB Dr Zaiton Udin berkata bayi pertama yang dilahirkan ialah bayi perempuan seberat 2.5 kilogram pada pukul 2.18 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong dan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail turut meluangkan masa melawat kesemua bayi berkenaan sambil menyerahkan sumbangan hamper.

Tiada ulasan: