Khamis, 1 September 2016

Kes Virus Zika pertama di Malaysia dikesan

MALAYSIA GAZETTE
 

S. Subramaniam
S. Subramaniam


Kementerian Kesihatan telah menerima laporan satu kes yang disyaki dijangkiti virus Zika semalam.
Pesakit merupakan seorang wanita berumur 58 tahun yang menetap di Bandar Botanic, Klang dan merupakan ibu kepada pesakit yang disahkan dijangkiti Zika di Singapura. Pesakit bersama suaminya telah melawat anaknya di Singapura pada 19 Ogos dan pulang ke Malaysia pada 21 Ogos 2016.

"Pesakit mula mendapat gejala ruam pada 28 Ogos dan pada 30 Ogos 2016, pesakit telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Klang. Memandangkan pesakit mempunyai sejarah melawat ke Singapura dan anak perempuannya yang berada di negara tersebut telah disahkan dijangkiti virus Zika pada 30 Ogos 2016, maka Pengamal Perubatan swasta berkenaan telah mendiagnosa pesakit sebagai “disyaki kes Zika”.

"Pada hari yang sama pesakit dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan hasil pemeriksaan ujian kencing pesakit untuk PCR pada 31 Ogos 2016, adalah positif untuk Zika virus. Manakala ujian darah pesakit masih menunggu keputusan," kata menterinya, Datuk Seri S. Subramaniam hari ini.

Menurutnya, punca jangkitan disyaki berlaku di Singapura yang mana hari pesakit mula mengalami tanda-tanda Zika adalah sama hari dengan anaknya mula sakit di Singapura. Suami pesakit dan ahli keluarga yang tinggal serumah bersamanya, sehingga kini masih belum menunjukkan simptom jangkitan Zika. Bagi tempoh 21 hingga 28 Ogos iaitu sekembalinya pesakit dari Singapura, pesakit telah melawati beberapa kawasan di daerah Klang dan Kuala Lumpur.

Hasil siasatan kes ini, KKM telah pun memulakan kawalan vektor di kawasan kediaman kes dan tempat-tempat yang telah di lawati oleh pesakit. Aktiviti kawalan yang dilaksanakan termasuk, menghapuskan tempat pembiakan Aedes, larvaciding dan semburan kabus. Di samping itu, kontak terdekat pesakit diperiksa dan dipantau sama ada mereka mengalami demam atau simptom Zika yang lain.

Maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Singapura, terdapat lima rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Singapura juga disahkan dijangkiti virus Zika.

Bagi tempoh 27 sehingga 31 Ogos 2016, telah terdapat 115 kes dilaporkan di Singapura. Oleh kerana perebakan jangkitan virus Zika adalah cepat, pemantauan dan aktiviti pencegahan Aedes di teruskan serta tingkatkan di semua negeri terutama negeri Johor dan Selangor.

"Rakyat Malaysia, perlu fokus kepada membersihkan tempat-tempat pembiakan Aedes, melindungi diri mereka dari gigitan nyamuk Aedes dan mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya terdapat tanda-tanda seperti demam, ruam dan conjunctivitis. Kes pertama Zika yang dilaporkan ini, menunjukkan bahawa mudah untuk dijangkiti virus ini dengan melawat tempat yang mengalami wabak seperti Singapura," ujarnya lagi.

Kementerian, katanya, sekali lagi menyeru kepada mana-mana individu yang telah melawat negara yang mempunyai jangkitan Zika, untuk tampil membuat pemeriksaan segera apabila mereka mengalami simptom seperti di atas. Tindakan proaktif masyarakat dapat menghentikan sebaran virus Zika di Malaysia. Tiada Aedes: Tiada Zika, Denggi dan Chikungunya.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: