Bernama
Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak untuk menyaman beliau mungkin bersandarkan emosi dan
mahukan publisiti.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata
tindakan bekas timbalan perdana menteri itu mungkin mahu meraih
perhatian orang ramai dengan isu yang mahu dibangkitkan.
"Dia (Muhyiddin) kena buktikan kenyataannya ada asas, sebelum sesiapa hendak menafikan dan membawanya ke mahkamah.
"Apa gunanya kalau sekiranya sesuatu perkara itu dibawa ke mahkamah
tetapi tiada asas dan fakta berhubung kait dengan perkara yang
dibangkitkan awal-awal lagi.
"Jadi, mungkin (tindakan) itu sesuatu (yang disebabkan) dari segi emosi,
dari segi harapan untuk dapat publisiti dan dapat tumpuan orang ramai.
"Kadangkala, pergi ke mahkamah, ia (perkara yang dibangkitkan) akan
dapat tumpuan ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
persidangan perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul
Samad. Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan turut mengingatkan
sebelum sebarang tuduhan dilemparkan sesetengah pihak, ia perlulah
bersandarkan kepada fakta, asas dan bukti.
Dua hari lepas, Muhyiddin mencabar untuk bertindak menyaman jika
dakwaan rasuah melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang
dilontarkannya tidak benar.
Sementara itu, berhubung kenyataan Muhyiddin semalam mengenai 67
kerusi Barisan Nasional (BN) bakal berhadapan dengan risiko kalah,
Hishammuddin berkata ia sekadar andaian semata-mata.
"Kita tak layan andaian. Yang penting kita dalam parti, di Bahagian
masing-masing kena jaga jentera supaya apa yang jadi andaian dan ramalan mereka tidak akan jadi satu kenyataan," kata beliau.
Semalam, Muhyiddin turut dilaporkan berkata sekiranya empat peratus
sahaja pengundi beralih angin, 45 kerusi daripada 67 kerusi BN itu boleh
menjadi milik pembangkang.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan