Sabtu, 3 September 2016

Beban pendidikan antara punca pelajar sakit mental

MOHD AZMI ABDUL HAMID





Kami memberi perhatian serius terhadap kajian Kementerian Kesihatan baru-baru ini ke atas 30,000 orang pelajar sekolah dari 2011-2015 yang mendedahkan 2 daripada 10 orang pelajar di negara ini mengalami sakit mental.

Kenyataan ini sangat serius memandangkan generasi muda sekarang adalah pewaris masa depan negara. Malah ia perlu dilihat sebagai bom jangka yang boleh memberi kesan sosial dan ekonomi yang berat jika ia tidak diatasi dengan berkesan.

Selain pelbagai faktor yang menjadi punca kepada tekanan emosi, stres dan mental yang tidak stabil di kalangan pelajar, kami berpendapat sistem pendidikan yang membebankan harus diambilkira di dalam negara ini.

Isu sistem pendidikan yang terlalu memfokuskan pencapaian akedemik yang diukur melalui keputusan peperiksaan pernah dibangkitkan oleh pelbagai pihak di kalangan ibu bapa, pendidik, ahli akademik dan penggubal kurikulum. Kesan negatif yang berkait dengan tekanan emosi dan hilang minat belajar adalah antara akibat dari beban pembelanjaran yang terlalu memberatkan akademik.

Sistem pendidikan yang menumpu kepada mencapai gred cemerlang menyebabkan pendidik dan ibu bapa tertekan untuk memastikan pelajar di bawah jagaan mereka mendapat segala peluang untuk bersiap menghadapi peperiksaan. Akibat memaksa anak-anak menghadiri tiusyen dan pelbagai aktiviti yang menambah beban mereka untuk mencapai kecemerlangan akademik, tekanan emosi dan mental menjadi natijah yang tidak dapat dielakkan.

Kami menyarankan bahawa jika sistem pendidikan tidak digubal agar menjadikan ia lebih mesra ilmu dan mesra pelajar, isu stres dan sakit mental seperti yang dikaji oleh pihak Kementerian Kesihatan tidak akan selesai.

Perlu diingat betapa ibu bapa sendiri mengamali stres kerana pencapain anak-anak dalam peperiksaan di sekolah menjadi ukuran utama. Mereka terpaksa berbelanja lebih dengan penambahan kos pendidikan untuk membiaya kelas tiusyen. Bertambahnya pusat tiusyen menandakan adalah disebabkan permintaan ibu bapa yang mahu anak-anak mencapai kecemerlangan akademik sebagai matlamat utama.

Demikian juga tekanan yang dirasai oleh pendidik yang terpaksa memberi fokus lebih kepada pencapaian peperiksaan pelajar kerana mereka juga diukur dengan kriteria yang sama. Keresahan guru terhadap sistem pendidikan kini yang membebankan, menyebabkan proses pembelajaran dan pengajaran yang dilalui oleh guru dan murid menjadi sangat berat.

Kami prihatin bahawa sistem pendidikan begini sudah banyak dikaji semula oleh negara seperti Singapura dan India. Mereka melihat bahawa generasi muda harus diberi peluang melalui pendidikan yang lebih merangsang potensi ingin tahu dan mencungkil minat untuk menguasai ilmu dan kemahiran yang secocok dengan keperluan mereka. Bukan dengan tekanan dan paksaan yang menyebabkan pembelajaran menjadi suatu beban.

Peringatan pihak Kementerian Kesihatan bahawa implikasi sakit mental di kalangan pelajar yang didapati menjadi gejala yang merisaukan, harus dipandang serius lantaran ia bukan sahaja bahaya kepada diri pelajar itu sendiri malah kepada keluarga dan masyarakat sekitar.

Fenomena jenayah, lari dari rumah, ponteng sekolah, gengsterism, merokok, dadah dan perlakuan ganas menjadi rantaian akibat dari tekanan emosi, stres dan sakit mental yang tidak terkawal.

Kami menggesa supaya isu ini ditangani secara menyeluruh di peringkat Kementerian Pendidikan, Kementarian Kesihatan dan pelbagai agensi awam dan institusi masyarakat yang lain. Semakan kepada kurikulum dalam sistem pendidikan perlu dilakukan untuk merengankan beban pelajar, guru dan ibu bapa. Hanya dengan cara ini gejala sakit mental di kalangan golongan berusia muda dapat diminimumkan. - HARAKAHDAILY

*  Penulis ialah Presiden Mapim

Tiada ulasan: