KUANTAN: Seramai 19 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut apabila
bas yang mereka naiki itu terbabas dan terbalik lalu jatuh ke lereng
bukit berhampiran simpang ke Tabung Haji di Jalan Keratong dekat Rompin
petang Sabtu.
Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah,
Rompin Abdul Satar Harun berkata pihaknya mendapat panggilan berhubung
kejadian itu pada 4.02 petang dan jentera tiba di lokasi 26 minit
kemudian.
"Sesampai di lokasi kejadian kita dimaklumkan bahawa seorang penumpang
wanita cedera telah dibawa ke hospital, saya difahamkan penumpang itu
patah kaki.
"Lapan belas penumpang lain termasuk pemandu tidak mengalami sebarang
kecederaan. Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar," katanya ketika
dihubungi Bernama. Abdul Satar berkata seramai tujuh anggota bomba
termasuk pegawai terlibat dalam operasi menyelamat itu dengan kekuatan
sebuah jentera.
Beliau berkata difahamkan bas ekspres itu terbabas kerana cuba mengelak
sebuah kereta di hadapan yang tiba-tiba masuk ke simpang secara
mengejut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan