MUAR - Umno bahagian Pagoh hari ini sepakat menolak keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang memecat Tan Sri Muhyiddin Yasin daripada jawatan Timbalan Presiden Umno berkuat-kuasa semalam.
Ketua Penerangannya, Hairul Izam Abd Samat berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya mengkaji dan meneliti beberapa perkara.
"Kami menolak keputusan ini kerana pemecatan tersebut dibuat tanpa mengikut prosedur sepatutnya seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti Fasal 20 Disiplin.
"MT dan Perlembagaan Umno disalah guna oleh Presiden dengan mengenepikan amalan demokrasi dalam parti di mana Tan Sri Muhyiddin tidak dipanggil untuk mempertahankan tuduhan terhadapnya sejak daripada awal penggantungan beliau.
"Selain itu, pemilihan Tan Sri Muhyiddin dalam jawatan berkenaan sebelum ini dibuat berdasarkan sokongan daripada ahli parti seluruh negara. Jadi kami sebagai ahli berasa dikhianati dengan keputusan MT," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Umno Bahagian Pagoh sebentar tadi.
[ARTIKEL BERKAITAN: Umno Johor akur keputusan pecat Muhyiddin]
Menurutnya, tindakan Muhyiddin yang sebelum ini menegur Presiden adalah bertujuan memperkukuhkan parti yang bukan digunakan untuk kepentingan peribadi.
"Segala kenyataan Tan Sri Muhyiddin berhubung salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh presiden adalah berdasarkan daripada laporan berintegriti daripada agensi kerajaan.
"Maka, tindakan MT memecat Tan Sri Muhyiddin telah menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati kepada ahli Umno Bahagian Pagoh serta merosakkan perpaduan dan keutuhan parti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan