Khamis, 23 Jun 2016

Tolak sentimen ‘anti-Malaya’, fokus aspirasi rakyat, kata Pengerusi DAP Sabah

IMG-20160622-WA0004


Oleh Kamsi Ahmad dan Hafiz Zainuddin


KENINGAU: Rakyat Sabah khususnya masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut di sini diseru supaya tidak terpengaruh dengan dakyah parti-parti tempatan yang berada dalam gabungan United Sabah Alliance (USA) kononnya memperjuangkan nasib Sabah.

Sedangkan, tindak-tanduk sebahagian mereka selesa menggunakan sentimen ‘anti-Malaya’ hanya
mencerminkan pemikiran ekstrem dan tidak menguntungkan perjuangan masyarakat yang tertindas di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah.

Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt, berkata, tindakan gabungan parti-parti tempatan ini yang dilihat terlalu ghairah ‘membuai’ angan-angan masyarakat di pedalaman khususnya di Keningau tidak mencerminkan aspirasi rakyat Sabah yang sebenar.

IMG-20160622-WA0005


“Gabungan parti-parti di bawah USA ini dilihat sebagai terlalu ekstrem dalam sentimen malah suka ‘membuai’ angan-angan masyarakat di pedalaman khususnya di Keningau dengan menyatakan bahawa Keningau akan diiktiraf sebagai ‘ibu negara’ kepada ‘negara Sabah’ kelak,” katanya dalam sebuah majlis di sini.

Sebaliknya Ahli Parlimen Sandakan itu berpandangan, isu utama yang perlu diberi perhatian saat ini meliputi soal kebajikan, kemudahan awam dan pembangunan.

“Adalah amat tidak relevan apabila walaupun BN telah pegang kuasa selama 50 tahun, tetapi mereka masih gagal menyediakan kemudahan air bersih ke seluruh pelusuk Sabah khususnya apa yang boleh kita lihat di DUN Bingkor ini,” ujar beliau.

Keadaan ini katanya amat menyedihkan memandangkan Malaysia menyasarkan mencapai status negara maju pada tahun 2020 yang bakal menjelma empat tahun lagi.

IMG-20160622-WA0012

Beliau berucap demikian di Kampung Binaong dalam majlis perasmian penubuhan Cawangan Penaja DAP bagi Cawangan Binaong, Cawangan Toboh Laut, dan Cawangan Mukim Bunga Raya dihadiri oleh Jawatankuasa DAP Sabah, Pasukan Impian Malaysia dan penduduk kampung.

Turut memberikan ucapan ialah Pengerusi DAP Keningau Peter Saili.

Menurut beliau, DAP di kawasan pedalaman perlu memberi fokus kepada lebih banyak aktiviti dan program yang melibatkan masyarakat setempat.

Ia termasuk program pendidikan politik untuk menyebarkan idea demokrasi sosial yang merupakan ideologi DAP kepada masyarakat demi mencapai keadilan dalam ekonomi, sosial dan politik di Malaysia. –Roketkini.com


Tiada ulasan: