Khamis, 16 Jun 2016

‘Sekurang-kurangnya Pak Lah dengar suara rakyat’

 
Mahathir berkata, Najib tidak boleh menjadikan alasan dipilih rakyat secara demokratik untuk terus memerintah.


paklah dan mahathir


KUALA KANGSAR: Datuk Seri Najib Razak sepatutnya sudah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri memandangkan ramai yang menolak kepimpinannya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Najib tidak boleh menjadikan alasan dipilih rakyat secara demokratik untuk terus memerintah.

“Dia (Najib) fikir rakyat hanya berkuasa lima tahun sekali (ketika pilihan raya). Sebenarnya rakyat berkuasa sepanjang masa dan berhak tukar pemimpin yang rosakkan negara,” katanya dalam satu program bersama Amanah di Manong hari ini.

Mahathir membandingkan Najib kepada Tun Abdullah Badawi yang berundur selepas prestasi terburuk BN pada Pilihan Raya Umum ke-12.

“Saya bukanlah suka sangat Pak Lah tapi sekurang-kurangnya dia sedar orang tak suka dan lepaskan jawatan.

“Jadi sepatutnya dengan begitu banyak suara suruh Najib berhenti, dia tak patut buat pekak dan tak nampak,” katanya lagi.

Mahathir mengetuai kempen Deklarasi Rakyat pada Mac lalu yang bertujuan mengumpul tandatangan rakyat untuk mendesak pengunduran Najib.

Bekas perdana menteri itu mendakwa berjaya mengumpulkan 1.2 juta tandatangan setakat ini, walaupun wujud dakwaan penipuan tandatangan.

Dalam pada itu, Mahathir sempat berseloroh mengenai cara BN menyambut ketibaannya di Manong.

“Bila diberitahu saya datang, Umno terus turap jalan,” katanya yang disambut dengan gelak ketawa kira-kira 400 hadirin.

Beliau menyifatkan ia adalah amalan biasa BN yang hanya berkhidmat untuk rakyat setibanya pilihan raya demi meraih undi.

“Ini sikap mereka yang amal rasuah. Dia fikir bila turap jalan, semua orang akan berduyun-duyun sokong dia,” katanya lagi.

Ini adalah kunjungan kedua Mahathir ke Kuala Kangsar sejak hari penamaan calon pada 6 Jun lalu untuk berkempen bagi calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli.

Selain Mahathir, turut hadir ialah bekas pemimpin Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman dan Datuk Kamilia Ibrahim.

Tiada ulasan: