Rabu, 1 Jun 2016

Sarif Taib dan Parti Umar dinobat Anugerah Tokoh Guru 2016

OLEH : NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM: Bekas guru besar Sekolah Rendah Agama (SRA) Hulu Bernam, Sarif Taib dan Parti Umar, bekas guru besar SRA Sabak Bernam diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Lelaki dan Perempuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) peringkat negeri 2016.

Anugerah terbabit disampaikan oleh Senator, Dr Muhammad Nur Manuty yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Pengarah JAIS, Zaki Arshad, di Sambutan Hari Guru dan Penyampaian Anugerah Kualiti Pendidikan 2016 di Dewan Jubli Perak, di sini.

PC (5 of 13)


Anugerah itu sekaligus membawa pulang RM500 dan pakej umrah perseorangan dan sijil penghargaan.

Sarif, 74, berkecimpung dalam pendidikan selama 38 tahun dan memulakan kerjaya sebagai pendidik di Parit 4 Sekinchan sebelum bersara sebagai Guru Besar Hulu Bernam dan kembali meneruskan tugas sebagai guru pakar secara sandaran di Sekolah Menengah Hulu Selangor.

Beliau yang berasal dari Sekendi, Sabak Bernam berterima kasih kepada JAIS dan rakan-rakannya yang menyokong perjuangannya sebagai pendidik.

“Bagi saya perjalanan pendidik sebenarnya masih jauh lagi dalam merentasi liku-liku perkhidmatan. Untuk melahirkan generasi baik masih banyak perlu dilakukan.

“Jika ilmu boleh disampaikan atau boleh didapati secara mudah dalam angan-angan pasti dalam dunia ini tiada yang bodoh, jadi perjuangan sebagai guru bukan mudah. Anugerah ini hanya sampingan, namun usaha dilakukan itu perlu sentiasa ditonjolkan,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui.

Tokoh Guru Lelaki itu pernah menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan aktif sebagai Penyelaras Amal Islam Selangor, Lajnah Buku Teks, Penulis Peraturan Kehakiman untuk amal Islami dan Penasihat Majlis dalam Mahkamah Juvana Hulu Selangor.

Sementara itu, bagi ibu kepada empat anak, Parti berkata pelbagai kenangan manis dan pahit dihadapinya sepanjang menjadi guru selama 36 tahun tidak mudah untuk dilupakan.

Katanya, penganugerahan Tokoh Guru itu menjadi dorongan kepada beliau untuk terus berkhidmat sebagai pengajar di surau.

PC (6 of 13)

Beliau yang berusia 67 tahun masih aktif menjadi pendidik kelas Al-Quran dan fardhu ain bagi warga emas di kawasan sekitar.

“Saya sangat gembira dan terkejut dipilih sebagai Tokoh Guru ini, cuma saya terkilan kerana tidak dapat berkongsi dengan arwah suami yang baru sahaja meninggal dunia.

“Walaubagaimanapun, saya bersyukur dan tidak mematahkan semangat untuk terus menjadi pendidik,” katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya guru masih berkhidmat supaya sentiasa berlaku jujur dan ikhlas serta dapat menanamkan diri bekerja kerana Allah.EZY


Tiada ulasan: