Jumaat, 24 Jun 2016

Pas bersedia hadapi PRU14

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob


KOTA BHARU – Pas tidak gentar sebaliknya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi persaingan sekiranya PRU14 diawalkan.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, Pas sebagai sebuah parti politik sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk khabar angin yang mengatakan PRU14 yang mungkin dipercepatkan.

“Sebagai parti politik Pas sentiasa bersiap sedia untuk ke arah itu di mana kita sebenarnya sudah mula buat persediaan sebaik sahaja PRU13 berakhir. Kalau betul tahun depan kita tak ada masalah,” katanya kepada media pada majlis sumbangan kuih raya Aidilfitri kepada agensi-agensi keselamatan di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat serta Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub.

Sempena majlis itu, kerajaan negeri menyerahkan 13,100 kotak kuih raya kepada wakil agensi keselamatan
.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan turut menyangkal ramalan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengatakan pengaruh Pas semakin lemah di beberapa negeri.

Beliau berkata, sebaliknya DAP perlu mengakui kelemahan sendiri dan bukannya menuding jari kepada orang lain.

“Kit Siang ramal Pas Kelantan lemah tapi itu sebenarnya dia (DAP) yang terasa lemah, ini terbukti dalam dua PRK (Kuala Kangsar dan Sungai Besar) baru-baru ini.

“Walaupun DAP bergabung dengan empat kumpulan (DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan Tun Dr Mahathir Mohamad) tapi mereka tidak boleh mengatasi BN. Ertinya kadar kelemahan sentiasa ada dan ia perlu jadi pengajaran kepada kita,” katanya.

Terdahulu, Kit Siang dalam satu laporan meramalkan Pas bakal berdepan kemungkinan untuk hilang kuasa ke atas negeri Kelantan yang telah ditadbirnya sejak 1990, selama 23 tahun pada PRU14 berdasarkan keputusan diperoleh Pas dalam PRK di Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini.


Tiada ulasan: