Khamis, 9 Jun 2016

Papan iklan provokasi: SPR ambil tindakan

SPR


SUNGAI BESAR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan pemasangan papan iklan berunsur tohmahan dan berniat untuk mengembangkan perasaan jahat serta berunsur provokatif sebagai tidak bertanggungjawab dan melanggar etika berkempen sepertimana yang telah ditetapkan dalam Akta Pilihan Raya 1954.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, tindakan sewajarnya akan diambil oleh pihak Pasukan Penguat Kuasa Pilihan Raya (PP KPR) untuk memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap pemasangan bahan kempen mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

"Di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan  Raya 1954, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya antaranya apabila melakukan apa-apa perbuatan atau penyataan dengan tujuan mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau  permusuhan.

"Sekiranya didapati bersalah boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau didenda tidak lebih RM10, 000 atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan medianya malam tadi.

Beliau memberitahu, jika dilihat kepada perkataan - perkataan pada papan iklan  itu jelas termasuk di bawah perbuatan yang menyalahi seksyen tersebut .

Sehubungan itu, Mohd Hashim mengingatkan agar semua pihak sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan kempen pilihan raya yang ditetapkan sambil menegaskan sebarang pelanggaran terhadapnya boleh diambil tindakan sewajarnya.

"Berkempenlah secara bijaksana dan berhemah dengan menunjukkan semangat bertanding yang berlandaskan sikap saling menghormati sebagaimana yang ditunjukkan semasa hari penamaan calon tempohari," katanya.‎


Tiada ulasan: