Khamis, 16 Jun 2016

Lepas Tok Guru tiada, Pas sudah lain, kata pengundi Sg Besar

 ARIF ATAN
 
 
Tan Hong HuatTan Hong Huat


Rata-rata penduduk tempatan di kawasan Parlimen Sungai Besar yang bakal mengundi Sabtu ini menolak BN dan Pas ketika tinjauan Malaysia Dateline di sekitar hentian bas di pekan itu semalam.

Walau bagaimanapun, kebanyakan pengundi Melayu yang ditemui masih menyatakan kekeliruan bahkan enggan mengulas manakala pengundi Cina secara terbuka mengkritik BN dan Pas.

Khairy HaronKhairy HaronPenduduk Taman Berkat, Khairy Haron, 47, berkata, beliau tidak mengetahui banyak maklumat berkaitan Parti Amanah Negara (Amanah) tetapi mengakui kempen parti itu menarik dan mendapat perhatian orang ramai.

"Amanah ini parti baru. Banyak orang masih tak tahu. Kalau tahu pun anggap Amanah ini wujud sebab tak puas hati dengan Pas.

"Tapi kali pertama saya dengar ceramah Amanah, seronok walaupun dekat nak habis.

Banyak benda baru kita tahu. Itu pun secara kebetulan melintas di tempat ceramah.

Seterusnya di Restoran Kuala Kurau, saya dengar dari mula. Menarik, ramai orang datang," ujarnya sambil tersenyum.

Beliau turut mengakui dalam banyak Pilihan Raya Umum dan PRK sebelum ini, PRK kali ini paling meriah dan mendapat perhatian banyak pihak.

"Lihat saja khemah anggota polis di Sungai Besar yang khabarnya datang dari seluruh negara. Di Sekinchan pun, dengarnya ada juga 'kem polis' ni. Ramai sungguh walaupun kata ini PRK," katanya.

Ditanya tentang media paling banyak dibaca atau ditontonnya, Khairy memberitahu, TV3 tetapi masih sedar tidak semua maklumat dalam saluran TV itu tepat.

Beliau juga berpendapat Pas tidak wajar keluar dari Pakatan Rakyat sehingga gabungan pembangkang itu pecah sebelum digantikan dengan Pakatan Harapan.

"Kita nak menentang (kerajaan) sangat pun siapalah kita, orang bawahan tapi yang pasti undi kita pada masa inilah amat ditagih orang atasan," tambah bapa kepada tiga anak ini lagi.

Sementara itu, Tan Hong Huat, 68, menganggap Pas tiada lagi tempat dalam hati pengundi Cina pada PRK kali ini dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
"Kita banyak kecewa Pas selepas Tok Guru (Almarhum Nik Aziz) tidak ada (meninggal dunia) sudah lain sekarang.
"Dia (Pas) mahu kawan dengan Umno. Pas lupakah BN itu macam mana perangai dia?" bidasnya yang mendiami Sungai Besar sejak 45 tahun lalu.

Mengulas tentang BN pula, beliau berterus-terang majoriti pengundi Cina sudah lama menolak parti berlambangkan dacing itu.

"Juta-juta, bilion-bilion (ringgit) sudah hilang. 'Undi besar' dulu (PRU13), Cina tidak mahu BN, 'undi kecil' ini (PRK) saya rasa mereka ramai-ramai undi itu Amanah juga," ujarnya yang menjadi nelayan di Sungai Besar sejak berusia awal 20-an lagi.

SubramaniamSubramaniamBagi pemandu Bas Smart Selangor,
Subramaniam, 51, lebih 40,000 pengundi di parlimen itu pastinya akan memilih parti yang banyak memberi faedah secara langsung kepada mereka.

Seramai 42,655 pemilih di Parlimen Sungai Besar bakal membuang undi, Sabtu ini dengan 67.16 peratus daripadanya pengundi Melayu manakala Cina 30.70 peratus, India 1.92 peratus dan lain-lain 0.23 peratus.

Tiada ulasan: