Isnin, 20 Jun 2016

Isu tebusan 12 juta: IGP harus dipecat - DAP

Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng hari ini memberikan tempoh 24 jam untuk kerajaan memecat Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar atas kegagalan menangani isu wang tebusan RM12 juta.

Ini kerana, kata beliau, Khalid telah menyebabkan isu wang tebusan menjadi begitu kacau-bilau sehingga ada pihak yang mula mengesyaki bahawa pihak polis turut terlibat dengan para penculik.

"Saya bersetuju dengan dasar kerajaan untuk tidak membayar wang tebusan atas alasan ia memberi galakan kepada penculik lain untuk meneruskan kegiatan mereka sekiranya perjanjian tebusan dipenuhi.

"Tetapi, saya harus menyalahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, kerana telah menjadikan isu wang tebusan RM12 juta ini suatu isu yang sangat kacau.

"Jika bukan kerana Khalid menafikan dari awal lagi bahawa pihak polis telah menerima wang tebusan daripada pihak keluarga dan kemudian menyuruh pihak media menyoal pihak keluarga mangsa, saya percaya perkara ini tidak akan menjadi begitu tak tentu hala," katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Khalid dilaporkan berkata, wang tebusan RM12 juta bagi membebaskan empat individu yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayaaf di perairan Pulau Ligitan, Sabah dipercayai serahkan oleh keluarga mangsa sendiri kepada pihak ketiga.

Sehubungan itu, beliau menafikan polis menerima dan membayar wang tebusan berkenaan seperti didakwa oleh ahli keluarga empat mangsa itu.

"PDRM tidak tahu langsung mengenai wang terbabit kerana keluarga mangsa banyak berurusan dengan ejen-ejen atau pihak ketiga dari Filipina yang dikatakan boleh membebaskan mangsa.

"Pihak ketiga itu ada juga datang ke Malaysia untuk menemui ahli keluarga mangsa dan keluarga mangsa juga ada pergi Zamboaga City, Filipina," kata Khalid lagi.

Mengulas lanjut, Lim berkata, Khalid tidak akan pernah belajar untuk menutup mulut tempayannya.

"Sepatutnya beliau menjawab ‘tiada komen’ apabila ditanya media tentang pembayaran wang tebusan.

"Malang sekali, Ketua Polis Negara yang satu ini tidak pernah gagal menyenangkan hati pemimpin Barisan Nasional dan telah mencuba nasib untuk mempolitikkan isu tebusan 12 juta ini dengan menyalahkan pihak pembangkang kerana menghangatkan isu tersebut," ujarnya.

Justeru, jika tiada tindakan diambil ke atas Khalid, beliau akan membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.

Laporan itu adalah bertujuan untuk menyiasat siapa yang memberi kelulusan transaksi wang yang begitu besar jumlahnya melalui akaun-akaun bank siapa, di mana wang itu sekarang, siapa yang menerimanya daripada pihak keluarga mangsa dan siapa yang telah berunding dengan pihak penculik, jelasnya lagi.


Tiada ulasan: