Isnin, 6 Jun 2016

Anak calon BN nafi pemimpin Umno mahu sabotaj ibunya

Shakira Buang

LIHAT VIDEO DI SINI


Anak sulung calon BN bagi kerusi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar, Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar menafikan terdapat unsur sabotaj dari dalam Umno berikutan pencalonan ibunya, Datin Mastura Mohd Yazid.

Beliau mengulas dakwaan kononnya wujud unsur sabotaj daripada pemimpin akar umbi berpotensi yang tidak dicalonkan.

Sebaliknya, Wan Emir berkata beliau yakin setiap jentera BN sedang giat berkempen bagi memastikan kemenangan ibunya di parlimen Kuala Kangsar.



“Kami sebagai satu pasukan sekarang tidak merasakan perkara ini (unsur sabotaj) berlaku dan memang kami cukup fokus serta saya berterima kasih kepada setiap jentera parti yang berusaha dalam pilihan raya ini bagi memastikan kemenangan kami,” kata Wan Emir kepada pemberita selepas melawat bilik gerakan BN, Kuala Kangsar hari ini.

Mastura dipilih sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar untuk menggantikan tempat suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terbunuh dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, bulan lalu.

Pada pilihan raya kecil 18 Jun ini, Mastura akan berdepan dengan lawannya dari PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad, calon AMANAH Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada pertemuan itu, Wan Emir juga menafikan dirinya bersama tiga lagi adiknya dikawal ketika berkempen.



“Bagi saya itu lebih kepada spekulasi, saya tidak rasa ada ura-ura yang mengatakan kami dikawal oleh pengawal peribadi ke apa. Kami hanya bergaul dengan jemaah seperti biasa dan memang tidak ada pengawal kiri kanan.

“Kalau ada pun situasi begitu dan benar ada pihak yang mendakwanya sebegitu ia bukanlah situasi kami sebagai anak rasa perlu berlaku,” kata Wan Emir.

Menurutnya, meskipun beliau sedang giat berkempen bagi pihak ibunya namun ia adalah aktiviti biasa mereka sebagai anak jati Kuala Kangsar.

“Kami memang dah biasa dengan orang Kuala Kangsar, walaupun dalam kempen pilihan raya ia sama sperti hari-hari biasa kami bersama dengan rakyat serta beribadah sempena bulan Ramadan,” katanya.


Tiada ulasan: