SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor,
Datuk Iskandar Abdul Samad menasihati ahli PKR agar tidak menyertai
perarakan mengiringi calon parti itu sempena hari Penamaan Calon di
Sungai Besar dan Kuala Kangsar hari ini.
Ini bagi memastikan ahli PKR tidak terdedah kepada sebarang bentuk masalah dengan kepimpinan parti mereka, ujar Iskandar.
"Saya nasihatkan kawan-kawan PKR yang hendak bersama dalam perarakan
calon PAS supaya tidak ikut serta. Dibimbangi akan timbul masalah dengan
pimpinan mereka," ujar Iskandar menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Iskandar yang juga Exco Selangor itu juga menyeru PKR agar membantu PAS
sepanjang kempen pilihan raya di kedua-dua kerusi Parlimen berkenaan.
Menurutnya, hubungan baik antara PKR dan PAS tidak akan musnah begitu
sahaja lebih-lebih lagi disebabkan Parti Amanah Negara (PAN).
PAS sebelum ini berdepan dengan provokasi demi provokasi bersabit tindakan PKR menyokong calon PAN pada dua PRK tersebut.
Bagaimanapun, PAS sedar PKR kini dalam keadaan tersepit memandangkan
parti itu adalah rakan komponen PAN dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH)
dan ia juga menjalinkan hubungan politik dengan PAS.
"Tapi bantulah PAS dalam kempen. Kami alu-alukan sumbangan anda.
Persahabatan yang telah sekian lama terbentuk tidak akan terputus
disebabkan PAN, " ujarnya.
Calon PAS bagi kerusi Parlimen Sungai Besar, Dr Rani Osman diiringi
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden
PAS, Idris Ahmad.
Sementara calon PAS bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Dr
Najihatussalehah Ahmad diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang dan Naib presidennya, Mohd Amar Nik Abdullah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Sungai Besar menyaksikan
pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PAS dan
PAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan