Selasa, 16 Februari 2016

Pas letak calon bukan Islam di Sarawak memang praktikal

Jeniri Amir


SHAH ALAM - Penganalisis politik melihat strategi Pas yang meletakkan calon bukan Islam dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak bersesuaian dengan demografi pengundi di negeri itu yang pelbagai kaum.

Namun, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir mengingatkan Pas bahawa itu bukan jaminan kemenangan parti Islam tersebut.

“Di Sarawak ini, Pas memang tidak boleh bergantung dengan calon Islam semata-mata. Pas mengambil langkah yang praktikal apabila menyesuaikan calonnya itu dengan demografi penduduk pelbagai etnik, budaya dan agama di Sarawak.

“Tetapi walaupun strategi itu tepat namun langkah itu tidak menjamin bahawa Pas akan dapat memenangi sebarang kerusi di Sarawak disebabkan hakikat bahawa imej dan reputasi Pas yang dilihat ekstrem dan radikal.

“Lebih-lebih lagi perjuangannya untuk menegakkan hukum hudud yang bercanggah dengan pegangan kepercayaan dan budaya masyarakat pelbagai kaum,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, Pas mengumumkan untuk mengetengahkan calon bukan Islam buat pertama kali dalam PRN Sarawak.

Mengulas lanjut, Dr Jeniri berkata, sokongan untuk Pas di negeri itu memang ada namun ia tidak cukup kuat untuk memenangkan parti itu dalam pilihan raya nanti.

“Sejak melangkah ke Sarawak dalam pilihan raya sebelum ini, memang tidak dinafikan sokongan terhadap Pas memang ada peningkatan tapi tidak cukup kuat untuk memungkinkan Pas menang walaupun tampil calon bukan Islam.

“Jadi, Pas tidak harus terperangkap dan terpedaya dengan kes yang hampir menang di Beting Maro (PRN Sarawak 2011) apabila calonnya hampir menang tapi itu bukan tandanya Pas mendapat sokongan. BN tidak mendapat majoriti gara-gara masalah dalaman bukan kerana Pas di situ kukuh,” katanya.


Tiada ulasan: