Khamis, 11 Februari 2016

PAC teliti pengauditan 1MDB oleh Ketua Audit Negara

 
Penelitian itu akan dibuat apabila Laporan Akhir Ketua Audit Negara Terhadap Pengauditan 1MDB dibentangkan pada 24 dan 25 Feb ini


Hasan-Arifin_1mdb_600_1


PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini, selesai mendengar keterangan daripada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Bakke Mohd Salleh dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berkata, seterusnya, PAC akan mendengar pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara Terhadap Pengauditan 1MDB pada 24 dan 25 Feb ini.

Katanya, selepas daripada pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara, jika sangat perlu dan ada kewajaran dalam membantu PAC bagi mendapatkan maklumat untuk membuat Laporan PAC berhubung Pengurusan Kawalan Urus Tadbir 1MDB ke Parlimen, barulah Jawatankuasa ini akan menimbang untuk memanggil saksi.

“Keutamaan PAC ketika ini, adalah untuk mendengar pembentangan Ketua Audit Negara berhubung Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dan menyiapkan Laporan PAC bagi dibentangkan ke Parlimen secara telus dan adil.

“Untuk pengetahuan semua, ahli PAC terdiri daripada parti pembangkang iaitu PKR, DAP dan PAS sementara Barisan Nasional (BN) pula dianggotai oleh UMNO, MCA, GERAKAN, PBB dan UPKO,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Hasan berkata, masyarakat umum tidak harus ada keraguan serta perlu yakin terhadap ketelusan laporan yang akan dibentang ke Parlimen kelak.

Tiada ulasan: