Jumaat, 19 Februari 2016

15 kerusi Sarawak penentu kelangsungan Pakatan Harapan



Sejarah menunjukkan pertandingan sesama pembangkang hanya akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan berlangsung. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Februari, 2016.Sejarah menunjukkan pertandingan sesama pembangkang hanya akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan berlangsung. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
PKR dan DAP akan bertemu hari ini bagi menyelesaikan tuntutan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, ujian pertama pakatan pembangkang itu sama ada mereka mampu menyelesaikannya bersama-sama.

Sekurang-kurangnya 15 kerusi menjadi pertaruhan, dengan kedua-dua parti komponen Pakatan Harapan itu mempunyai tuntutan masing-masing, kata sumber dalaman.

Difahamkan kedua-dua mereka bersedia bertarung sesama sendiri dengan Barisan Nasional (BN) dalam kesemua 15 kerusi ini.

Penganalisis beranggapan BN akan memenanginya. Kegagalan meletakkan calon tunggal Pakatan di setiap 82 kerusi PRN Sarawak juga mengancam prinsip asas gabungan baru berusia 5 bulan bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 menentang BN.

Pemimpin PKR, DAP, dan Pakatan yang dihubungi enggan menyentuh secara spesifik kerusi dirundingkan untuk pilihan raya dijangka berlangsung April depan.

Bagaimanapun, mereka menegaskan setiap parti akan melaksanakan yang termampu bagi memastikan mereka meletakkan calon tunggal di semua kerusi.

"Kami percaya rakan kami di Sarawak berunding sesama mereka dan kami yakin mereka mampu menyelesaikannya," kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah.

Penganalisis meramalkan populariti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkemungkinan menyukarkan tugas pembangkang dalam pilihan raya itu.

Dayak
 
Kesemua 15 kerusi ini di pekan-pekan kecil dengan populasi Dayak yang besar di tengah Sarawak sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo, seperti Serian dan Sri Aman.

Kerusi-kerusi ini terletak di kawasan pinggir bandar, kira-kira 1 jam perjalanan dari bandar besar seperti Bau dan Bengoh, berhampiran Kuching, di mana PKR dan DAP membuatkan kehadiran mereka dirasai sejak 5 tahun lalu.

Program Impian Sarawak dan beberapa projek komuniti berjaya membuatkan kehadiran DAP dirasai penduduk luar bandar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Februari, 2016. 
Program Impian Sarawak dan beberapa projek komuniti berjaya membuatkan kehadiran DAP dirasai penduduk luar bandar. – Gambar fail The Malaysian Insider
 
 
Laporan The Malaysian Insider sebelum ini mengenal pasti beberapa kerusi itu seperti Opar dan Tasik Biru di Opar, Serembu, Bengoh, Tarat Kedup dan Bukit Semuja di Serian, kerusi campuran Batu Kitang dan kerusi Melayu di Tupong.

Difahamkan, kerusi-kerusi ini mempunyai populasi Dayak sebanyak 60% dan 70% dengan mereka menjadi sasaran kedua-dua parti.

Dayak yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan etnik seperti Iban, Bidayuh, dan Kayan merupakan komuniti terbesar di Sarawak.

PKR secara tradisionalnya bertanding di kerusi Dayak sejak PRN 2006, menjadikan mereka meniti laluan itu dalam komuniti mereka melalui cabang-cabang parti.

Namun, DAP memiliki bilangan kerusi terbesar yang dimenangi di Sarawak, dengan majoritinya kerusi didominasi komuniti Cina di Kuching, dan bandar-bandar utama di Sibu, Miri, dan Bintulu dalam pilihan raya 2011.

Parti itu kini mempunyai 12 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, paling banyak berbanding rakan pembangkang lain.

DAP juga menarik minat Dayak untuk menjadi ahli mereka melalui lebih 30 projek komuniti di bawah inisiatif Impian Sarawak.

Perkembangan baharu di kawasan Dayak itu menjadi faktor DAP untuk meletakkan calon mereka di lokasi tradisional PKR.

"Kami sudah memperkenalkan diri kami sejak setahun lalu di kawasan-kawasan ini dan DAP sekarang ingin mengambilnya?" kata pemimpin PKR Sarawak yang enggan mendedahkan identitinya.

Walaupun PKR Sarawak secara aktif berunding untuk penyelesaian, ahli akar umbi mereka diingatkan untuk bersedia berhadapan pertandingan beberapa penjuru, kata pemimpin itu.

Rundingan sehingga hari pengundian
 
Penyelidik bebas, Ibrahim Suffian berkata, sejarah menunjukkan pertandingan sesama pembangkang hanya akan memberikan kelebihan kepada BN.

Ini kerana jumlah pengundi yang menentang BN akan dipecahkan bagi 2 calon pembangkang, menjadikan BN memiliki blok pengundi terbanyak.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jien enggan memberikan butiran rundingan, namun mengharapkan rundingan hari ini akan memberikan kata putus.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata, beliau positif kedua-dua pihak akan berupaya menyelesaikan isu pertindihan kerusi.

"Saya harap tidak berlaku pertandingan 3 penjuru."

Bian bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada PKR bersedia berhadapan DAP dan BN jika rundingan itu gagal.

"Masih terlalu awal untuk mengatakan adanya pertandingan sedemikian dan kami positif semuanya berjalan lancar.

"Kami bersedia untuk berunding sehingga hari pengundian bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 dalam pilihan raya," katanya.


Tiada ulasan: