Ahad, 14 Februari 2016

1,000 pelajar 33 kolej swasta mungkin berhenti kerana tiada pinjaman Mara




Kajian mendapati kira-kira 80% daripada 945 pelajar penuntut di kolej tajaan Majlis Amanah Rakyat yang sudah dijanjikan pinjaman pelajaran tidak menerima pinjaman seperti dijanjikan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Februari, 2016.Kajian mendapati kira-kira 80% daripada 945 pelajar penuntut di kolej tajaan Majlis Amanah Rakyat yang sudah dijanjikan pinjaman pelajaran tidak menerima pinjaman seperti dijanjikan. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Hampir 1,000 pelajar baharu di 33 kolej swasta didapati sukar untuk meneruskan pengajian disebabkan tindakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menamatkan pemberian pinjaman pelajaran, dedah kajian yang dijalankan Biro Mahasiswa Pemuda PKR.

Dapatan itu, sekali lagi menguatkan dakwaan yang bantuan ke atas agensi berkaitan kerajaan bagi pendidikan tinggi dikurangkan tahun ini.

Sementara itu, Mara pada Jumaat lepas berkata sejumlah RM264 juta sudah diperuntukkan kepada pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang mengadu mereka tidak menerima pinjaman seperti dijanjikan.

Kajian itu juga mendapati kira-kira 80% daripada 945 pelajar berkenaan yang merupakan penuntut di kolej tajaan Mara yang sudah dijanjikan pinjaman pelajaran. Ini termasuk pelajar yang menuntut di UniKL. 
 
Mereka yang sedang menuntut di kolej bukan tajaan Mara turut berharap agar pemberian pinjaman pelajaran mereka dikekalkan, kata penulis kajian itu, Fahmi Zainol, dalam temu ramah bersama The Malaysian Insider.

Kira-kira 80.7% daripada mereka mungkin akan menamatkan pengajian sekiranya tidak menerima pinjaman Mara, manakala 82% pelajar secara peribadi mengetahui rakan mereka sudah berhenti belajar kerana gagal mendapatkan pinjaman.

"Kesimpulan daripada kajian kami ialah Mara mempunyai masalah untuk memberikan pinjaman. Kemudahan permohonan pinjaman atas talian mereka juga sudah tidak lagi menerima permohonan baharu," kata Fahmi yang juga ketua Biro Pelajar Pemuda PKR.

 Ketua Biro Pelajar Pemuda PKR Fahmi Zainol berkata, 80.7% pelajar terlibat mungkin akan menamatkan pengajian sekiranya tidak menerima pinjaman, manakala 82% pelajar secara peribadi mengetahui rakan mereka sudah berhenti belajar kerana gagal mendapatkan pinjaman. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Februari, 2016. 
Ketua Biro Pelajar Pemuda PKR Fahmi Zainol berkata, 80.7% pelajar terlibat mungkin akan menamatkan pengajian sekiranya tidak menerima pinjaman, manakala 82% pelajar secara peribadi mengetahui rakan mereka sudah berhenti belajar kerana gagal mendapatkan pinjaman. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
Fahmi berkata, kira-kira 43 daripada 945 pelajar terpaksa menamatkan pengajian kerana gagal mendapatkan pinjaman pelajaran.

"Kebanyakan pelajar ini sudah mendaftar di kolej masing-masing bermula Julai tahun lepas. Apabila gagal memohon pinjaman, mereka terpaksa menggunakan duit ibu bapa bagi membayar yuran semester pertama.

"Tetapi kini mereka sudah memulakan semester ke-2 tahun ini dan tidak tahu di mana mereka boleh dapatkan duit untuk membayar yuran pengajian.

"Sebab itu beberapa pelajar berhenti selepas semester pertama (pada Julai)," kata Fahmi sambil menambah lebih 90% daripada responden kajian itu melahirkan kebimbangan dengan keadaan kewangan mereka.

Fahmi berkata, pelajar sudah diberitahu yang mereka perlu membayar yuran semester ke-2 mereka pada Mei ini. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka tidak boleh meneruskan pengajian pada semester ke-3.

Daripada 33 institusi itu, 9 adalah politeknik Mara di Johor, Pahang, Kedah dan Kelantan. Selebihnya merupakan kolej swasta di Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor.

Dua daripadanya ialah universiti luar negara iaitu Universiti Sunderland di London, United Kingdom dan Universiti Mansoura, Mesir.

Semua 945 pelajar itu juga sudah menulis surat kepada sebuah pusat aduan atas talian yang dibuka biro berkenaan.

"Tetapi kami mengesahkan aduan mereka dengan melawat universiti berkenaan untuk bertanya sendiri dengan sekumpulan sampel pelajar terlibat," kata Fahmi.

Pada 10 Februari lalu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli turut mendesak Mara untuk berterus terang mengenai program pinjaman agensi itu.

Kemampuan Putrajaya untuk terus membiayai program pendidikan tinggi masih menjadi tajuk berita pada Januari lalu apabila mengumumkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam akan diteruskan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu menunjukkan pembiayaan untuk semua 4 program di bawah JPA dipotong sebanyak antara 21% dan 60%.


Tiada ulasan: