Ahad, 31 Januari 2016

Virus Zika: Kerajaan tidak larang ke AS, Amerika Tengah

SINAR HARIAN


Virus Zika
Bayi berkepala kecil yang dikatakan disebabkan oleh virus Zika.


BALIK PULAU - Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang larangan kepada rakyat Malaysia yang ingin melancong ke Amerika Selatan dan Amerika Tengah, namun menasihatkan mereka mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus Zika.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya bagaimanapun berkata wanita hamil dinasihatkan agar tidak ke negara terbabit kerana virus berkenaan boleh memberi kesan terhadap kandungan.

"Virus itu hanya menyebabkan demam ringan dan bintik-bintik di badan, sakit sendi serta tidak menyebabkan kematian tetapi ia berbahaya kepada wanita mengandung.

"Ini kerana ia boleh menyebabkan 'microcephaly' iaitu kelahiran bayi dengan kepala atau otak mengecil serta gejala saraf iaitu sindrom 'guillain-barre'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Pulau Betong, di sini hari ini.

Sehingga semalam, terdapat 22 buah negara melaporkan kes Zika iaitu virus dari gigitan nyamuk Aedes.

Negara itu ialah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Republik Dominica, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Honduras, Martinique, Mexico, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, A.S., Virgin Islands, Venezuela dan Samoa.

Dr Hilmi berkata kementerian mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memberi penerangan dan mengedarkan risalah kesihatan kepada pelancong dari negara terbabit termasuk rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan berhubung penularan virus Zika.

Beliau berkata setakat ini pihaknya menempatkan kakitangan kesihatan di pintu masuk utama negara terutama lapangan terbang bagi memberi penerangan berhubung virus berkenaan.

Katanya risiko jangkitan virus itu merebak ke Malaysia adalah tinggi kerana negara ini mempunyai nyamuk Aedes.

"Sehingga semalam sebanyak 300 sampel nyamuk Aedes di seluruh negara telah diambil dan diuji di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan. Keputusannya semua adalah negatif untuk virus Zika," katanya.

Dalam perkembangan lain Dr Hilmi berkata kes demam denggi di seluruh negara meningkat 16.4 peratus sejak 1 Jan sehingga semalam, iaitu sebanyak 12,897 kes dengan 26 kematian berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 11,081 kes dengan 35 kematian.

Katanya di Pulau Pinang, sebanyak 683 kes demam denggi dengan tiga kematian dilaporkan berbanding tempoh sama sebanyak 529 kes dengan dua kematian pada tahun lepas.

Beliau berkata sejumlah 1,401 lokaliti wabak masih aktif dilaporkan di seluruh negara dan paling tinggi di Selangor iaitu 816 lokaliti, Johor (237), Kuala Lumpur dan Putrajaya (95), Pulau Pinang (51), Perak (41), Sabah (40), Terengganu (40), Negeri Sembilan (30), Melaka (18), Sarawak (12), Pahang (sembilan), Kelantan (sembilan), Perlis (dua) dan Kedah (satu).

"Terdapat sebanyak 967 lokaliti wabak terkawal iaitu di Selangor (539), Johor (144), Kuala Lumpur dan Putrajaya (84), Pulau Pinang (39), Terengganu (31), Sabah (30), Perak (28), Negeri Sembilan (26), Melaka (18), Sarawak (10), Pahang (lapan), Kelantan (lapan) dan Perlis (dua).

"Manakala, terdapat sebanyak 156 lokaliti wabak tak terkawal iaitu di Selangor (97), Johor (28), Pulau Pinang, Terengganu, Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing dengan tujuh lokaliti, Perak (lima), Sarawak (dua), Kedah (satu), Negeri Sembilan (satu) dan Sabah (satu)," katanya.

Katanya bagi lokaliti kawasan panas, terdapat 223 lokaliti yang aktif iaitu di Selangor (147), Johor (58), Perak (lapan), Sabah (lima), Negeri Sembilan (tiga), Pulau Pinang (satu) dan Kuala Lumpur serta Putrajaya (satu). -Bernama


Tiada ulasan: