1. Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan PM tidak banyak dilihat mengurangkan beban kerajaan ekoran daripada kejatuhan harga minyak dunia serta kejatuhan nilai ringgit Malaysia. Sebaliknya, beban kerajaan terus ditanggung oleh rakyat dengan GST.
2. Walaupun sebelum pengumuman pengubahsuaian bajet saya pernah menyarankan agar kerajaan mengurangkan caruman pekerja dalam KWSP 2%, mengurangkan cukai pendapatan individu serta mengurangkan kadar GST daripada 6% kepada 3 atau 4% bagi tujuan lebihan wang dalam poket rakyat dengan pendapatan boleh guna rakyat yang lebih besar untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Begitu juga, saya mencadangkan agar kerajaan mengecilkan kabinet dapur BN, namun kerajaan tidak melakukan sesuatu yang memberikan kelegaan kepada rakyat.
KABINET DAPUR YANG MENYEMAK.
3. Jumlah anggota kabinet langsung tidak disentuh untuk dikurangkan seperti yang dicadangkan kepada 15-19 orang sahaja daripada jumlah sekarang sebanyak 35 orang. Pada hal sektor swasta terpaksa mengurangkan kakitangannya daripada pelbagai peringkat untuk mengurangkan beban kos operasi.
Sepatutnya kerajaan juga mengurang separuh anggota kabinetnya untuk mengurang kos gaji Menteri dan lantikan politik. Begitu juga kerajaan tidak memansuhkan perlantikan jawatan Duta Khas dan Penasihat PM yang bertaraf Menteri yang telah menghabiskan sejumlah wang negara.
TAK CUKUP KURANGKAN 3% CARUMAN INDIVIDU KWSP, KURANGKAN JUGA GST 3%.
4. Pengurangan caruman KWSP sebanyak 3% dengan anggaran RM8 bilion untuk pekerja berbelanja, masih tidak mencukupi kerana bukan semua rakyat Malaysia mencarum dalam KWSP. Hanya 6.72 juta pencarum KWSP yang masih aktif sahaja terlibat. Bagaimana golongan yang tidak mencarum dalam KWSP dan bagaimana golongan yang selama ini pendapatan mereka tidak layak dicukaikan kerana cukup makan atau pun tak cukup makan? Bukan semua rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi tergolong dalam 200 ribu keluarga miskin tegar yang akan mendapat bantuan beras 20 kg sebulan.
5. Pengubahsuaian bajet 2016 tidak memberi makna jika rakyat tidak memperolehi pendapatan boleh guna yang lebih besar, bahkan rakyat terus menjadi mangsa GST. Oleh itu, saya tetap menegaskan bahawa kerajaan perlu turut mengurangkan Kadar GST dari 6% kepada 3% sahaja. Barulah semua lapisan rakyat dapat merasai dan meringankan beban kos sara hidup. Di samping 6.72 juta pekerja yang masih aktif mencarum dalam KWSP dan 2 juta pembayar cukai pendapatan induvidu akan mendapat pendapatan boleh guna lebih besar dengan pengurangan caruman KWSP, pelepasan khas cukai pendapatan individu dan pengurangan GST. Walaupun saya tetap berpendirian GST tidak wajar ke atas rakyat. Kewangan negara dapat diselamatkan jika kerajaan tidak boros dan tiada rasuah dalam perbelanjaan negara.
6. Potongan 3% KWSP dianggar meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta RM8 bilion setahun yang diharap oleh PM Najib untuk pekerja berbelanja sebenarnya membawa balik pulangan pada kerajaan melalui GST RM480 juta. Begitu juga dengan pelepasan khas cukai individu RM2,000 kepada pembayar cukai pendapatan individu yang berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah untuk tahun taksiran 2015 dengan kerajaan kononnya kehilangan RM350 juta setahun.
7. Ini bermakna RM350 juta dalam poket rakyat untuk dibelanjakan bagi kerajaan mendapat kembali melalui GST. RM350 juta tersebut akan memberi balik pulangan kepada kerajaan melalui GST sebanyak RM21 juta. Ini bermakna kerajaan mendapat tambahan pendapatan melalui GST sebanyak RM501 juta daripada pendapatan GST sedia ada RM51 bilion melalui pengubahsuaian bajet 2016. Ini bermakna pengubahsuaian bajet 2016 menjadikan RAKYAT PENYELAMAT EKONOMI DAN KEWANGAN NEGARA DENGAN GST bukannya Najib dan kabinet dapur yang otak udang.
RAKYAT NAK KEHIDUPAN YANG SELESA BUKAN PEMIMPIN GILA YANG BERKUASA.
* DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR,Ahli Parlimen Pokok Sena
Tiada ulasan:
Catat Ulasan