Jumaat, 29 Januari 2016

AG mesti benarkan siasatan berterusan ke atas Najib

Hafiz Yatim







Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu membenarkan siasatan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diteruskan, kata seorang pemimpin DAP.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, yang juga adalah pengerusi biro undang-undang DAP juga berpendapat bahawa perlembagaan persekutuan tidak memperuntukkan sebarang kuasa kepada Apandi selaku peguam negara untuk menutup kes.

"Siasatan ke dalam akaun PM Najib harus dibenarkan berterusan. Perkara 145 (3) memberi kuasa kepada peguam negara untuk memula, menjalan atau memberhentikan prosiding jenayah.

“Ia tidak menyebut tentang kuasanya untuk menutup kes," kata Gobind kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau yang juga adalah seorang peguam, berkata hanya mahkamah yang mempunyai kuasa khusus bagi memerintahkan pembebasan.

"Hanya apabila seseorang dibebaskan mengikut Perkara 7, Perlembagaan Persekutuan melindunginya daripada prosiding selanjutnya berkenaan dengan tuduhan yang sama.

"Jadi, pendek kata, fail berkenaan akan sentiasa dibuka dan pihak pendakwaan juga boleh membuka semula kes itu pada mana-mana peringkat sekiranya keadaan memerlukan berbuat demikian, contohnya apabila bukti baru diperolehi.

Gobind mengulas demikian ketika ditanya sama ada fail siasatan Najib perlu ditutup sebagaimana yang diperintahkan oleh Apandi dan sama ada peguam negara mempunyai kuasa untuk bertindakan sedemikian.

Bekas Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee yang juga adalah ahli panel penilaian operasi, SPRM juga bersependapat bahawa Apandi tidak mempunyai hak untuk memerintahkan kes itu ditutup.

Tiada ulasan: