ALOR SETAR,  Karnival Pendidikan Tinggi Negara yang diadakan di seluruh negara mampu mengurangkan kesilapan pelajar, ketika memilih bidang yang ingin diceburi mereka.


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, melalui karnival tersebut, pelajar diterangkan dengan bidang dan pilihan yang ada, bukan sahaja di universiti awam dan swasta, tetapi juga di kolej komuniti dan pusat kemahiran.

“Kita beritahu pelajar-pelajar tentang peluang-peluang yang ada di universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan pusat-pusat kemahiran di seluruh negara dan IPTS serta cara mereka membuat permohonan kemasukan ke IPT-IPT di seluruh negara.

“Kita harap mereka lebih faham cara kemasukan ke IPT-IPT dan juga dalam penggunaan sistem kaedah, di mana 90 peratus menggunakan akademik mereka dan 10 peratus kokurikulum.

“Kita harap mereka boleh membuat pilihan yang lebih sesuai dengan kehendak-kehendak mereka.

“Apabila kita mengadakan karnival-karnival seperti ini, kesilapan-kesilapan (memilih bidang) terus berkurangan,” katanya selepas melancarkan Karnival Pendidikan Tinggi Negara di perkarangan Stadium Darul Aman, pada Sabtu.

Menurut Idris, pelajar perlu sedar peluang melanjutkan pelajaran bukan sahaja di universiti, tetapi juga di politeknik, kolej komuniti dan juga pusat latihan kemahiran.

Malah katanya, kerajaan memberi penekanan kepada mereka yang memilih untuk mengikuti bidang kemahiran, kerana ia mempunyai peluang pekerjaan lebih luas, berbanding bidang membabitkan akademik semata-mata.

“Apabila kita membuat jelajah Karnival Pendidikan Tinggi seperti ini, kita lihat lebih ramai pelajar lebih faham dan mengetahui peluang-peluang yang ada.

“Peluang-peluang yang ada bukan sahaja di universiti, tetapi juga di politeknik dan juga kolej komuniti.

“Kerajaan memberi penekanan kepada pelajar-pelajar memilih bidang latihan teknikal, vokasional, bukan hanya bidang akademik semata-mata, kerana ruang pekerjaannya lebih banyak di bidang-bidang tersebut,” katanya.

Beliau menjangkakan 800 ribu pelajar akan berkunjung ke karnival itu di enam lokasi seluruh negara.