Sabtu, 30 Januari 2016

Tunai permintaan Switzerland, jangan jadi negara ‘pariah’ – Zaid Ibrahim

 
Jika Malaysia mahu menjadi sebahagian komuniti dunia bertamaduan, menghormati undang-undang, mereka mestilah patuh dan memberi kesemua maklumat yang diminta pihak berkuasa Switzerland.


zaid


SHAH ALAM: Kerajaan Malaysia harus berkerjasama dengan pendakwa raya Switzerland yang melakukan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila mendapati kira-kira AS$4 bilion (RM16.8 bilion) daripada syarikat itu didakwa disalahguna, dengan sebahagiannya dipindahkan ke beberapa akaun bank Swiss oleh pegawai dari Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu.

Gesaan itu dibuat oleh bekas Menteri Kabinet Datuk Zaid Ibrahim, kerana kegagalan Malaysia memberi kerjasama berhubung permintaan tersebut, akan menyebabkan negara dilabel sebagai negara ‘pariah’ kerana membiarkan aktiviti jenayah.

“Jika mereka (Malaysia) mahu jadi sebahagian komuniti dunia bertamadun, menghormati undang-undang, mereka mestilah patuh kepada kepada arahan yang diberi dengan memberi kesemua maklumat yang diminta pihak berkuasa Switzerland,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis pelancaran buku Dr Bakri Musa di Karangkraf hari ini.

Zahid yang juga bekas menteri undang-undang berkata, tugas tersebut bukannya tugas muktlak Peguam Negara semata-mata, sebaliknya ia juga menjadi tanggungjawab Kabinet untuk mengeluarkan arahan kerana mereka mempunyai kuasa.

Katanya, anggapan rakyat bahawa kuasa undang-undang ini terletak kepada Peguam Negara adalah tidak tepat kerana Kabinet berhak mengarahkan Peguam Negara untuk bertindak.

“Rakyat selalu fikir peguam negara ada banyak kuasa, beliau tidak, beliau mungkin nampak begitu, tetapi sebenarnya tidak berkuasa. Beliau (Peguam Negara) tidak ada kuasa menutup pasukan petugas khas, beliau tidak berkuasa menghentikan siasatan terhadap SPRM, beliau tidak ada semua itu,” katanya.

Zaid juga berkata, rakyat negara ini sepatutnya malu sekiranya pemerintah negara ini tidak bertindak di atas permintaan pihak berkuasa Switzerland.

Terdahulu pihak berkuasa Switzerland mengeluarkan kenyataan bahawa kira-kira AS$4 bilion (RM16.8 bilion) daripada syarikat Malaysia disalahgunakan, dengan sebahagiannya dipindahkan ke beberapa bank Swiss oleh pegawai dari Malaysia.

Ia berikutan penemuan empat kes salah laku jenayah antara 2009 dan 2013 menggunakan struktur kewangan yang kompleks.

Tiada ulasan: