KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Sabah telah menolak kemasukan 236 pelancong asing ke negeri ini sepanjang tahun lepas.
Pengarahnya Musa Sulaiman berkata tindakan itu dibuat apabila pelancong
terbabit tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelancong tulen.
"Jabatan tidak teragak-agak untuk menghalang kemasukan pelawat yang
dipercayai mengancam keselamatan atau menggugat keharmonian negeri
Sabah.
"Dalam usaha menjamin tahap keselamatan tinggi, para pegawai Imigresen
di pintu-pintu masuk telah diarahkan untuk melaksanakan pemeriksaan
lebih teliti terhadap penumpang yang masuk dan keluar dari negeri ini,"
katanya pada sidang akhbar mengenai pencapaian jabatan itu sepanjang
tahun lepas di sini, Jumaat.
Musa berkata jabatan tersebut juga telah mewajibkan pemeriksaan
biometrik terhadap semua pelawat, manakala sistem senarai semak
penumpang sentiasa dikemaskini.
Beliau turut memberitahu jabatan itu telah menahan seramai 18,874
pendatang asing tanpa izin (PATI) tahun lepas menerusi operasi bersepadu
Jabatan Imigresen, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom)
dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Di samping itu, kita juga telah menghantar pulang seramai 27,769
tahanan (termasuk yang berada di pusat-pusat tahanan sementara pada
tahun sebelumnya) melibatkan warga Filipina, Indonesia, Pakistan, India
dan China," katanya.
Musa turut mengumumkan waktu operasi di Pos Kawalan Imigresen Sindumin,
Sabah dan Merapok, Sarawak dilanjutkan dari 6 pagi hingga 10 malam
kepada 6 pagi hingga 12 tengah malam mulai 1 Feb ini.
"Perlanjutan waktu operasi ini diharapkan dapat meningkatkan kegiatan
ekonomi dan sosial masyarakat, khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya.
Ketika ditanya mengenai Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI
yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika
membentangkan Pengubahsuaian Bajet 2016 semalam, Musa berkata Jabatan
Imigresen Sabah akan meneliti kaedah bersesuaian dalam membantu industri
menggaji pekerja asing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan