"Kedua-dua panel menasihatkan SPRM untuk berbincang dengan peguam negara berhubung keputusan berkenaan," kata kenyataan kedua-dua panel itu yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini.
Ahli panel itu mengadakan mesyuarat hari ini ekoran permintaan dari SPRM bagi mengkaji keputusan peguam negara. Ahli tetap panel penilai SPRM, Tan Sri Musa Hassan memberitahu pemberita selepas mesyuarat itu, dia tidak mahu membuat sebarang ulasan samada kertas siasatan itu dikira ditutup atau tidak.
"Kita meminta mereka berbincang (enggage) dengan peguam negara," katanya.
Semalam SPRM berkata, pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan mereka mengenai RM2.6 billion dan SRC International kepada panel penilai.
Panel penilai operasi boleh menerima dan mengkaji laporan SPRM itu berhubung dengan keputusan peguam negara terhadap kertas siasatan itu. Mereka berhak untuk memberikan pandangan jika tidak ada tindakan diambil.
Ahli panel khas terdiri daripada pelbagai jawatankuasa penasihat dalam SPRM.
Apandi ketika mengumumkan kekurangan bukti untuk mendakwa Najib juga berkata, beliau mengembalikan kertas siasatan itu kepada SPRM dengan arahan untuk ditutup.
Bekas peguam negara, Abu Talib Othman bagaimanapun mempertikaikan arahan itu dengan berkata, "Peguam negara hanya ada kuasa untuk memula, menjalankan dan menghentikan sebarang prosiding (jenayah), tetapi tidak ada bidang kuasa mengarahkan sebarang agensi siasatan menutup kertas siasatannya."
Ketika diminta mengulas lanjut apa yang mereka maksudkan dengan nasihat, Musa berkata, "Sebenarnya ada beberapa perkara yang mereka perlu berbincang lagi."
Apabila ditanya sama ada ini bermakna bahawa fail tidak ditutup, beliau berkata ia bukan tugas mereka untuk mengatakan sama ada fail ditutup atau dibuka.
"Mereka perlu bincang perkara ini, kita tidak boleh mengatakan sama ada terbuka atau tertutup," katanya.
Walau bagaimanapun Musa berkata, SPRM akan berjumpa dengan peguam negara "secepat mungkin".
Musa berkata, panel penilai SPRM adalah sebuah badan pengawasan yang anggotanya dilantik perdana menteri dengan tanggungjawab menerima dan meneliti laporan daripada SPRM berhubung keputusan kertas siasatan yang dibuat peguam negara dan mengemukakan pandangan mengenai tindakan ke atas kes di mana tiada caj dibuat.
Panel khas pula terdiri daripada jawatankuasa pengawasan dalam SPRM, yang ditubuhkan atas syor jawatankuasa khas mengenai rasuah yang dipengerusikan Presiden Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.
"Panel penilai operasi dan panel khas mengambil perhatian terhadap keputusan peguam negara baru-baru ini berkaitan dengan RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd.
"Kedua-dua panel menasihatkan SPRM untuk 'engage' dengan Peguam Negara berhubung keputusan tersebut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan