Sabtu, 30 Januari 2016

Ku Nan: Tiada pembangunan dilaksana di Bukit Kiara

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan tidak akan melaksanakan sebarang pembangunan di kawasan Bukit Kiara yang dikhaskan bagi projek Taman Awam Berskala Besar, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan dalam kenyataan semalam berkata sebahagian tapak Bukit Kiara telah dirizabkan untuk pembangunan taman awam berkenaan, berdasarkan ketetapan dalam draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020.

"Pembangunan di kawasan ini hanya akan dijalankan sekiranya mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya.

Tengku Adnan berkata pembangunan yang hendak dijalankan itu juga perlu mematuhi beberapa perkara seperti zon gunatanah adalah Institusi dan intensiti pembangunan dihadkan kepada nisbah plot tidak melebihi 1:2.

"Hanya dibenarkan bangunan jenis bertingkat rendah dan ketinggian bangunan perlu dikawal tidak melebihi tiga hingga lima tingkat," katanya.

Selain itu, cadangan pembangunan juga perlu mematuhi semua kehendak teknikal perancangan berkaitan pematuhan kawasan plinth, anjakan bangunan, kawasan lapang, penyediaan kemudahan dan penyediaan parkir kenderaan.- Bernama

Tiada ulasan: